Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Seramai 84 orang kakitangan Syarikat Tenaga Berakas Sdn Bhd (BPC) telah diberikan penghormatan atas komitmen dan sumbangan berterusan mereka semasa Majlis Makan Malam Ulang Tahun Penubuhan BPC ke-25 yang berlangsung di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei pada 26 Ogos lalu.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian anugerah ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BPC.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid selaku Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Assets dan Ahli Lembaga Pengarah BPC, Awang Edzwan Zukri bin Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan.
Ketua Pegawai Eksekutif BPC, Stephen Turner dalam kata alu-aluannya berkata BPC meraikan bukan sahaja pencapaian syarikat tetapi juga pencapaian individu kakitangannya yang telah lama berkhidmat, yang telah menyumbang secara menyeluruh kepada prestasi dan pencapaian syarikat.
“Awda juga telah berkongsi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman awda yang tidak ternilai dengan rakan sekerja dan mentee awda,” tambahnya.
Di antara kemuncak majlis berkenaan ialah penyampaian anugerah perkhidmatan kepada 22 orang penerima bagi 25 tahun perkhidmatan, tujuh orang penerima bagi 20 tahun perkhidmatan, sembilan orang penerima bagi 15 tahun perkhidmatan dan 46 orang pekerja bagi 10 tahun perkhidmatan.
BPC telah ditubuhkan sejak 1998. Walau bagaimanapun, Sistem Tenaga Berakas mendahului penubuhan BPC dengan stesen jana kuasa pertama di Jerudong yang telah beroperasi sejak 1992.
Sepanjang tahun-tahun berikutnya iaitu 1992-1997, sistem kuasa berkenaan berkembang kepada tiga stesen jana kuasa serta rangkaian penghantaran dan pengedaran.
Hari ini, BPC membekalkan tenaga elektrik yang sangat reliable untuk kira-kira 40 peratus daripada permintaan tenaga negara, termasuk sebahagian besar beban strategik dan kritikal di Daerah Brunei dan Muara seperti kementerian kerajaan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hospital, tapak telekomunikasi beberapa lokasi VVIP serta pelanggan komersial dan kediaman.
Perkembangan dan kejayaan syarikat berkenaan merupakan hasil kerja keras, dedikasi dan komitmen semua kakitangan BPC, dahulu dan sekarang.