Thursday, January 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    BPTBM labuh tirai

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Bengkel Pemantapan Tatabahasa Bahasa Melayu (BPTBM) yang diungkayahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa melabuhkan tirainya dengan majlis penutup berlangsung di Balai Sarmayuda, DBP Berakas.

    Hadir selaku tetamu khas ialah Pemangku Pengarah DPB, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat penutupan bengkel, diikuti dengan sesi membaca buku selama 10 minit.

    Seterusnya, madah aluan disampaikan oleh Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa selaku Setiausaha BPTBM, Hajah Annisa binti Haji Moksin.

    Beliau berkata, para peserta telah diberikan pendedahan mengenai ilmu-ilmu kebahasaan yang sangat berguna dalam bidang pekerjaan dan profesi masing-masing.

    Hajah Haireni menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta BPTBM. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara peserta yang menyertai bengkel tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Bengkel tersebut bermatlamat untuk membantu para peserta mengasah kemahiran, terutama para penyunting dan editor dalam meningkatkan penguasaan tatabahasa bahasa Melayu yang betul, guna untuk meningkatkan kualiti penyuntingan dan penulisan tanah air.

    BPTBM juga mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para peserta kerana rata-rata mereka tertarik untuk mendalami modul pengajaran yang diajarkan selama dua hari berbengkel itu.

    Para peserta aktif bertanya dan ini menunjukkan bahawa mereka memahami topik yang dibincangkan dan secara tidak langsung pengajaran memberi kesan positif kepada para peserta.

    Hajah Anissa berharap melalui sesi perkongsian ilmu tersebut, semua peserta dapat memperoleh ilmu pengetahuan yang dikongsikan untuk memperdalam pengetahuan ketatabahasaan; mempertingkatkan kemahiran dan kecekapan dalam penyuntingan serta kepengarangan sehingga dapat mengaplikasikannya dalam kerja-kerja editorial dan penulisan.

    Di samping itu, dihasratkan agar ilmu yang bermanfaat ini dapat menjadi panduan dan sukat-sukat dalam mengguna pakai serta menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam bidang kerja dan kehidupan sehari-hari.

    Majlis diteruskan dengan ulasan daripada fasilitator BPTBM, Penolong Profesor, Universiti Brunei Darussalam, Dr Hasmidar binti Hassan, dan diikuti oleh ucapan daripada Ketua Peserta BPTBM, Pegawai Bahasa, DBP, Awang Raieham bin Mohd Salleh.

    Majlis diserikan dengan penyampaian sijil kepada fasilitator dan peserta BPTBM oleh tetamu khas dan berakhir dengan sesi bergambar ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda