Brazil adakan pameran seni pandu lalu

SAO PAULO – Semenjak penutupan galeri dan muzium berikutan dengan wabak koronavirus, seorang pemilik galeri seni Brazil memutuskan untuk menyesuaikan budaya wayang pandu masuk dengan seni visual dan merasmikan pameran pandu lalu di Sao Paulo.

‘DriveThru.Art’ memaparkan karya seni pada 18 panel berukuran 10 meter (33 kaki) selebar 5 meter (16 setengah kaki) tinggi oleh artis yang berbeza di sebuah gudang besar yang pernah menempatkan perniagaan pelogaman.

Penonton boleh melawat dengan hanya berada di dalam kereta sahaja. Harga masuk adalah 40 reais (AS$8) setiap kereta, dengan jumlah sehingga empat orang. Bagi mereka yang tidak mempunyai kereta, pameran ini menawarkan sebuah kereta yang boleh memuatkan sehingga tiga orang, dengan harga yang sama.

Tiket boleh didapati di laman sesawang dan tiket tersebut memberikan maklumat mengenai karya seni, yang akan dipamerkan hingga 9 Ogos. Pertunjukan ini dibuka 1 petang hingga 9 malam setiap hari kecuali hari Isnin dan Selasa.

“Oleh kerana ia adalah pameran di dalam kereta dan pada saat tidak melakukan apa-apa, penonton yang bukan penggiat budaya, boleh datang ke sini,” kata Luis Maluf, kurator pameran dan pemilik Luis Maluf Art Gallery.

Pengunjung mengelilingi pameran yang memakan masa lebih kurang satu jam. Hanya 20 buah kereta yang dibenarkan masuk ke dalam gudang pada satu masa, untuk mengelakkan penumpukan gas mematikan dari ekzos kenderaan. Untuk keselamatan, tidak ada yang dibenarkan keluar dari kereta.

Penonton mengimbas kod QR untuk mengakses audio yang menerangkan karya. Di panel, ada lukisan, foto, video dan grafiti yang berkaitan dengan tema sosial, seperti perwakilan wanita kulit hitam dan pemeliharaan alam sekitar.

Karya seni itu diciptakan semasa pandemik koronavirus di Brazil yang telah mengakibatkan lebih dari 2 juta kes yang disahkan dan lebih dari 85,000 kematian. – AP

Gambar bertarikh 24 Julai 2020 menunjukkan seorang wanita melihat pameran seni dari dalam kereta selepas memasuki gudang yang mempamerkan lukisan dan gambar di Sao Paulo, Brazil. – AP
Berikutan dengan penularan wabak koronavirus, para pelawat hanya dibenarkan melawat pameran secara pandu lalu. – AP
Antara pelawat yang menyaksikan pameran tersebut dari dalam kereta. – AP