Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Brazil, Argentina kejar separuh akhir

    DOHA, 9 DIS – Brazil dijangka menjadi pasukan pertama yang akan mara ke peringkat separuh akhir Piala Dunia pada Jumaat, manakala Argentina boleh menyajikan aksi pertembungan dua buah negara Amerika Selatan jika mereka mampu mengatasi Belanda.

    Juara dunia lima kali, Brazil akan membuka aksi suku akhir menentang naib juara 2018, Croatia, dengan kehadiran Neymar yang kini sudah cergas selepas mengalami kecederaan
    buku lali semasa perlawanan pembukaan.

    “Saya akan melakukan apa sahaja untuk memberikan kemenangan kepada pasukan kebangsaan Brazil. Itulah misi dan impian kami,” kata Neymar.

    “Kami sudah semakin hampir, kami perlu melangkah sekali lagi,” Croatia telah banyak berubah berbanding semasa pasukan itu mencapai ke peringkat final empat tahun lalu, namun pemain berusia 37 tahun, Luka Modric kekal sebagai pemain utama mereka.

    “Saya setuju bahawa kami telah melakukan perkara yang hebat sehingga mencapai ke peringkat suku akhir, namun begitu, kami mahu melakukan lebih lagi,” kata Modric, yang akan berdepan rakan sepasukan dalam kelab Real Madrid, Viniciues Junior, Rodrygo dan Eder Militao dalam perlawanan di Stadium Kota Pendidikan.

    Luka Modric semasa sidang media sebelum aksi pertama perlawanan suku akhir antara Croatia dan Brazil bermula. – AP

    “Kami sedar bahawa perlawanan terhebat bakal menanti kami.

    “Brazil akan sentiasa menjadi pasukan pilihan. Kami perlu menjadi diri kami yang sendiri.”

    Sementara itu, Lionel Messi berharap semoga dia dapat menamatkan penantiannya untuk menjulang trofi Piala Dunia bersama Argentina, selepas tewas kepada Jerman pada masa tambahan lapan tahun lalu.

    Penyandang juara Copa America itu akan bertemu Belanda pada pagi Sabtu dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Lusail, venue untuk aksi final pada 18 Disember nanti.

    Kedua-dua negara itu pernah bertembung sebanyak lima kali dalam Piala Dunia, termasuk final tahun 1978, yang telah dimenangi oleh Argentina 3-1 selepas masa tambahan.

    Argentina tidak pernah menewaskan Belanda dalam masa 90 minit.

    Ia merupakan pengulangan semula kepada aksi separuh akhir di Brazil pada tahun 2014, di mana pasukan Amerika Selatan itu menang sepakan penalti selepas terikat seri tanpa jaringan selama 120 minit.

    “Pada tahun 2014, saya berada di sana dan perlawanan berakhir sedikit berbeza (daripada apa yang kami mahukan) tetapi saya mahu mengubahnya sekarang,” kata pemain penyerang, Memphis Depay semasa sidang media sebelum perlawanan bermula. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...