Tuesday, July 15, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brazil berakhir seri dalam penampilan sulung Ancelotti

    MONTEVIDEO, 6 JUN – Kemunculan sulung Carlo Ancelotti sebagai jurulatih Brazil berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan di Ecuador dalam kelayakan Piala Dunia Amerika Selatan awal pagi tadi.

    Jurulatih dari Itali berusia 65 tahun yang meninggalkan Real Madrid pada penghujung musim Eropah, telah diberi tugas membawa Brazil melalui peringkat terakhir kelayakan ke Piala Dunia 2026.

    Bekas pengurus AC Milan dan Chelsea itu menggantikan Dorival Junior, yang dipecat pada akhir Mac selepas dibelasah 4-1 di oleh juara dunia dan seteru ketat, Argentina.

    Keputusan pagi tadi meletakkan Selecao di tempat keempat dalam jadual kelayakan dengan 22 mata manakala Ecuador kekal di tempat kedua dengan 24 mata.

    Ecuador tampil di stadium yang sesak di Estadio Monumental di Guayaquil dengan penuh harapan untuk menang.

    Tetapi pasukan tuan rumah menerima kejutan sejurus sebelum sepak mula apabila penjaga gol, Hernan Galindez mengalami ketegangan otot semasa memanaskan badan dan pengganti Gonzalo Valle tergesa-gesa dimasukkan.

    Valle terus beraksi cemerlang apabila berjaya menepis rembatan dari dalam kotak oleh Vinicius Jr yang telah diatur oleh Gerson.

    Setelah itu, peluang-peluang terhad dalam pertandingan apabila kedua-dua pasukan tidak dapat mengawal bahagian tengah padang sehingga waktu rehat.

    Bintang Real Madrid, Vinicius juga kurang bahaya sepanjang perlawanan ditambah lagi dengan ketiadaan Rodrygo, Brazil kurang mengancam dalam serangan.

    Pembukaan terbaik hadir pada minit ke-75 apabila Vinicius mengasak dari kiri dan menghantar kepada Casemiro, tetapi pemain tengah Manchester United yang dipanggil semula oleh Ancelotti, melihat percubaan yang mudah ditangani oleh Valle.

    Walaupun tiada kesan segera daripada Ancelotti, Vinicius, yang bermain di bawah jurulatih di Madrid, berkata dia memerlukan masa untuk membuat impaknya dirasai.

    “Saya sangat gembira mempunyai Ancelotti di sini bersama kami, kerana saya selalu berkata dia jurulatih terbaik yang pernah saya bekerjasama. Berpeluang bekerja dengannya dalam pasukan kebangsaan Brazil adalah yang terbaik,” kata pemain sayap itu kepada sportv.

    “Dia belum cukup masa untuk menunjukkan usaha dan rancangan permainannya kerana dia hanya mempunyai dua atau tiga hari latihan,” tambahnya. – AFP

    Aksi Vinicius Jr (kanan) mengawal semasa perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia FIFA 2026 Amerika Selatan antara Ecuador dan Brazil di stadium Monumental Banco Pichincha di Guayaquil, Ecuador pagi tadi.- AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda