BRASILIA, 10 APRIL – Brazil akan mengembalikan keperluan visa untuk pelancong dari Amerika Syarikat, Kanada dan Australia mulai hari ini, sekali gus menamatkan pengecualian visa selama enam tahun yang dinikmati oleh warganegara dari negara-negara itu, lapor Xinhua.
Menurut Kementerian Luar Brazil, keputusan itu dibuat berasaskan prinsip timbal balik, memandangkan negara-negara berkenaan masih mewajibkan warga Brazil untuk mendapatkan visa.
“Brazil tidak menawarkan pengecualian visa secara unilateral. “Kami masih dalam perbincangan dengan Amerika Syarikat untuk membatalkan keperluan visa bagi warganegara Brazil, yang akan membolehkan kami memberikan balasan yang sama,” kata Menteri Pelancongan Brazil Celso Sabino, yang dipetik oleh agensi berita Agencia Brasil.
Agensi promosi pelancongan Brazil, Embratur telah mendedahkan negara itu mengalu-alukan 728,537 pelawat dari Amerika Syarikat, 96,540 dari Kanada dan 52,888 dari Australia pada 2024.
Mulai hari ini, pelancong dari ketiga-tiga negara itu yang tiba melalui jalan darat, udara atau laut perlu memohon visa elektronik melalui portal eVisa rasmi. – Bernama
