Wednesday, December 25, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brazil mara ke final bola sepak wanita Olimpik

    MARSEILLE, 7 OGOS – Brazil mengejutkan juara Piala Dunia, Sepanyol dalam perlawanan separuh akhir bola sepak wanita Olimpik kelmarin, dengan kemenangan 4-2 untuk mengatur pertembungan dengan Amerika Syarikat (AS) dalam perlawanan akhir bagi pingat emas.

    Gol sendiri Irene Paredes memberikan Brazil pendahuluan awal di Marseille dan Gabi Portilho menggandakan kelebihan pada masa kecederaan separuh masa pertama.

    Adriana menjadikan kedudukan 3-0 pada separuh masa kedua sebelum penamat yang mendebarkan menyaksikan Sepanyol mengejar kembali gol menerusi gol sendiri oleh Duda Sampaio dan percubaan Salma Paralluelo, manakala Kerolin mendapat gol keempat Brazil.

    Brazil kini pasti sekurang-kurangnya menyamai pencapaian terbaik mereka sebelum ini dalam bola sepak wanita Olimpik, apabila mereka memenangi pingat perak pada 2004 dan 2008.

    Pada kedua-dua perlawanan, mereka tewas kepada AS, yang bakal mereka temui pada perlawanan akhir pada Sabtu di Parc des Princes di Paris.

    Sementara itu, Sepanyol, yang membuat penampilan sulung pada temasya itu setahun selepas memenangi Piala Dunia buat kali pertama, menentang Jerman pada Jumaat di Lyon dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.

    Brazil berjaya melepasi peringkat kumpulan sebagai pasukan terbaik di tempat ketiga, walaupun kalah dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Sepanyol, perlawanan di mana kapten legenda mereka, Marta dibuang padang.

    Dia terlepas perlawanan suku akhir ke atas tuan rumah Perancis akibat hukuman tersebut dan sekali lagi digantung dalam perlawanan ini, tetapi Brazil akhirnya tidak memerlukannya dalam kedua-dua perlawanan.

    Gol pembukaan minit keenam adalah lucu, dengan penjaga gol Sepanyol, Cata Coll menyepak bola dengan kuat mengenai Paredes dan melihat bola masuk ke gawang. – AFP

    Reaksi Adriana selepas menjaringkan gol semasa perlawanan bola sepak separuh akhir wanita pada Sukan Olimpik di Stadium Marseille di Marseille, Perancis pada 6 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda