Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brazil panggil pemain muda ganti Neymar

    RIO DE JANEIRO, 7 NOV – Bintang muda berusia 17 tahun, Endrick, yang dianggap sebagai salah satu harapan besar bola sepak Brazil, mendapat panggilan pertamanya untuk misi pasukan kebangsaan kelmarin ketika jurulatih Fernando Diniz mencari pengganti Neymar.

    Endrick yang bakal menyertai Real Madrid apabila berusia 18 tahun pada Julai 2024 dijangka tampil kali pertama bersama skuad senior Brazil dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Colombia dan Argentina bulan ini sekali gus muncul pemain termuda
    menyarung jersi Selecao sejak Ronaldo pada 1994.

    “Dia pemain yang sangat berbakat besar,” kata Diniz ketika mengumumkan skuadnya dalam sidang media awal pagi tadi.

    “Panggilan ini bukan tekanan, ia hadiah dan juga pandangan masa depan pemain muda ini,” tambahnya.

    Endrick, yang dilaporkan telah dibeli oleh Real Madrid dengan bayaran perpindahan 72 juta euro, baru-baru ini mencipta dua gol penting ketika pasukannya, Palmeiras, bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk menewaskan pendahulu liga, Botafogo 4-3 pada Rabu lalu.

    Brazil, juara Piala Dunia sebanyak lima kali, akan menentang Colombia di tempat lawan pada 16 November di Barranquilla dan saingan terkuat mereka, Argentina, pada 21
    November di stadium ikonik Rio de Janeiro, Maracana.

    Diniz, yang memenangi Copa Libertadores baru-baru ini dalam tugas keduanya sebagai jurulatih kelab Rio Fluminense, telah melakukan pembaharuan menyeluruh terhadap serangan Brazil selepas Neymar tidak dapat bermain kerana cedera lutut.

    Turut tampil dalam barisan untuk penampilan sulung mereka di peringkat antarabangsa ialah penyerang Brighton, Joao Pedro, 22, Paulinho, 23, dari Atletico Mineiro dan Pepe, 26, dari Porto.

    Selain itu, Diniz turut membuat keputusan yang tidak dijangka dengan tidak memasukkan penyerang Tottenham, Richarlison, yang sebelum ini merupakan pemain utama pada Piala Dunia 2022. – AFP

    Endrick beraksi semasa perlawanan separuh akhir kedua Copa Libertadores di stadium Allianz Parque di Sao Paulo, Brazil pada 5 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda