Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brazil patahkan badi penalti

    PORTO ALEGRE, 28 JUN – Gabriel Jesus menjaringkan gol kemenangan pada penentuan penalti penuh tegang ketika Brazil menamatkan badi mereka sebelum menewaskan Paraguay awal pagi tadi untuk layak ke separuh akhir Copa America.

    Dua kali sebelum ini pada 2011 dan 2015, Paraguay mengalahkan Brazil pada peringkat sama menerusi penentuan penalti kejohanan Amerika Selatan itu.

    Willian hampir menjaringkan gol pada masa sebenar buat Brazil apabila percubaannya terkena palang ketika Paraguay bertahan dengan kedudukan 0-0 lebih 40 minit susulan Fabian Balbuena dibuang padang kerana kekasaran profesional terhadap Roberto Firmino.

    Media Brazil tidak keruan sebelum perlawanan dengan mengimbau memori pilu kejohanan di Argentina pada 2011 dan Chile empat tahun kemudian tatkala Paraguay menghasilkan permainan bertahan sebelum meraih kemenangan menerusi loteri sepakan penalti.

    Namun ia tidak berlaku kali ini ketika penjaga gol Brazil, Alisson menyelamatkan percubaan penalti pertama Gustavo Gomez di Arena Gremio, Porto Alegre.

    Walaupun penalti Firmino tersasar ke sebelah kiri gol, Derlis Gonzalez menuruti jejak langkahnya sekali gus membolehkan Jesus, yang mensia-siakan penalti pada aksi terakhir Brazil, muncul menjadi penyumbat penalti kemenangan.

    Tuan rumah kejohanan itu akan berdepan sama ada musuh tradisi Argentina atau Venezuela pada separuh akhir di Belo Horizonte, pertengahan minggu depan.

    Brazil bermula lincah dengan hantaran menarik pada minit keempat apabila Everton meluru ke kiri untuk mencari Dani Alves di pinggir kawasan penalti sebelum membuat hantaran kepada Firmino tetapi rembatannya dapat dibaca penjaga gol Roberto Fernandez.

    Tetapi permainan pantas menepati jangkaan dengan Brazil menguasai bola dan membuat banyak hantaran manakala Paraguay berjaya mengekalkan rentak dan kelihatan mengimbangi permainan dengan serangan balas. – AFP

    Para pemain Brazil meraikan kejayaan menumbangkan Paraguay dalam penentuan penalti di Gremio Arena, Porto Alegre, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda