SAO PAULO, 30 April – Brazil akan memperingati hari kematian jaguh Formula Satu (F1), Ayrton Senna dengan sambutan ‘Senna Day’ di Litar Interlagos esok sempena 25 tahun pemergiannya akibat nahas dalam sukan itu.
Senna maut akbat nahas ketika berlumba di Litar Imola, Itali pada 1 Mei 1994 ketika berusia 34 tahun.
Sejak kematian Senna, Brazil tidak lagi melahirkan juara dunia apabila kali terakhir menyaksikan Senna muncul juara pada musim 1991.
“Ayrton Senna melakar banyak kejayaan… tetapi ketiadaan infrastruktur yang menyokong sukan permotoran di Brazil menyukarkan sukan ini berkembang,” kata wartawan sukan permotoran Brazil, Alexander Grunwald.
Kematian Senna turut menggemparkan peminat seluruh dunia, namun ia lebih dirasai warga Brazil yang memuja ikon mereka itu menerusi topi keledar kuningnya.

“Pada zaman 1980an, kami hidup dalam tekanan inflasi di hujung pemerintahan diktator tentera, zaman itu langsung tidak ada apa untuk dibanggakan,” kata Grunwald.
“Tetapi Senna mengibar bendera Brazil di serata dunia sebagai simbol yang membanggakan rakyat Brazil.”
Menurutnya, legasi Senna berjaya melakukan tranfomasi dalam F1.
Selain kehebatannya memandu jentera lumba, elemen lain dalam sukan itu khususnya persiapan mental dan fizikal Senna membezakan dirinya dengan pelumba F1 lain ketika itu. Sebab itu tidak hairan apabila imejnya masih berterusan digunakan dalam pengiklanan membabitkan rakyat di Brazil sehingga kini.
Satu kajian pada 2014 menunjukkan 47 peratus penduduk di Sao Paulo memilihnya sebagai tokoh sukan terbesar Brazil mengatasi Pele yang menduduki tangga kedua.
Menurut Grunwald, Pele, juara Piala Dunia tiga kali ketika zamannya membuatkan orang ramai terpaku di depan radio atau mengikuti perkembanngan di akhbar, namun emosi yang dibawa mereka berdua nyata berbeza.
“Ketika zaman Senna, seisi keluarga akan berkumpul untuk menontonya berlumba di TV pada Ahad,” katanya.
Sehubungan itu, penganjur sudah mengatur beberapa persembahan sempena sambutan esok termasuk acara kebudayaan dan sukan. – AFP