Brazil perketat Copa Amerika

RIO DE JANEIRO, 11 JUN – Tuan rumah Copa Amerika, Brazil, akan mengerahkan penembak hendap dan anjing pengesan pada sepak mula kejohanan Amerika Latin itu minggu ini, ketika negara gila bola sepak itu berdepan ribuan kemasukan penyokong.

Kira-kira 10,000 anggota keselamatan persendirian akan dikerahkan bagi memberikan keselamatan tambahan di dalam stadium-stadium pada kejohanan itu, sementara polis akan membuat rondaan di luar ketika mereka memantau jika adanya samseng-samseng.

“Dengan semua pengalaman yang kami ada, saya boleh jamin bahawa kami mempunyai kedudukan bagi memastikan Copa Amerika yang selamat,” kata pengarah Integrated Operations di Kementerian Keadilan dan Keselamatan, Cesar Martinez, kepada AFP.

Brazil pernah menghoskan Piala Konfederasi pada 2013, Piala Dunia 2014 dan Sukan Olimpik pada 2016 tanpa mengalami insiden besar.

Risiko penyokong ganas menyelinap masuk ke kejohanan itu merupakan antara kebimbangan besar Brazil, yang akan menyekat kemasukan samseng-samseng asing daripada memasuki negara itu.

Penyokong-penyokong bermasalah yang dikenal pasti oleh para pegawai kawalan sempadan dan immigresen akan dihantar balik, sementara teknologi pengecaman wajah akan digunakan di setiap perlawanan.

Argentina telah memberikan senarai 5,000 orang penyokong yang mempunyai sejarah keganasan kepada Brazil. Pangkalan data itu termasuk nama-nama samseng-samseng yang terkenal di negara-negara lain dikemaskini setiap hari, tambah Martinez.

Keselamatan akan ditingkatkan di lapangan-lapangan terbang, hotel-hotel, jalan-jalan raya yang digunakan oleh para delegasi asing dan lokasi pelancongan. – AFP

Stadium Arena Fonte Nova menjalani persiapan akhir menjelang kejohanan Copa Amerika di Brazil minggu ini. – AP