SAU PAULO – Sebuah muzium paling popular di Brazil telah dibuka semula selepas hampir satu dekad menjalani pengubahsuaian, sebagai salah satu sambutan perayaan hari kemerdekaan dua abad negara itu.
Muzium Paulista terletak di tengah-tengah kawasan Taman Kemerdekaan Sao Paulo yang dijaga dengan rapi. Muzium itu menyimpan lebih daripada 3,000 buah artifak termasuk 2,800 yang telah dipulihkan sejak ditutup pada tahun 2013 terdiri daripada dokumen bersejarah, lukisan, barangan rumah dan memorabilia.
Dikenali oleh orang Brazil sebagai Muzium Ipiranga, ia diasaskan pada tahun 1895 di sebelah anak sungai tempat Maharaja Pedro I mengisytiharkan kemerdekaan negara daripada jajahan Portugal.
Kerja pengubahsuaian itu menelan perbelanjaan kira-kira AS$40 juta dan menjadikan muzium itu boleh diakses sepenuhnya oleh orang kelainan upaya, memulihkan bahagian hadapan bangunan dan menggandakan kawasan asal pembinaannya.
Pemasangan sistem penghawa dingin baharu juga antara salah satu kerja pengubahsuaian bagi membolehkan koleksi baharu barangan seni dipamerkan kepada orang ramai.
Kurator dan pengarah dari Universiti Sao Paulo yang juga merupakan pentadbir muzium tersebut, menjangkakan kira-kira 1 juta pelawat dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Muzium ini akan dibuka semula kepada orang ramai pada 8 September, iaitu sehari selepas Hari kemerdekaan negara.
Sebuah rumah di atas bukit kecil di taman juga menyimpan beberapa memorabilia kemerdekaan. Casa do Grito (House of the Cry) didakwa terletak di tempat yang tepat di mana Pedro I menjerit “Kemerdekaan atau Kematian!” kepada penyokongnya.
Pedro I dikebumikan di pinggir selatan taman itu, manakala jantungnya disimpan dalam bekas kaca formalin di Gereja Our Lady of Lapa di Porto, Portugis. Jantung itu dibawa ke Brazil secara pinjaman sebagai sebahagian daripada perayaan kemerdekaan dua abad negara itu dan akan dipamerkan kepada orang ramai.
“Pada asalnya, tapak ini bukan dibina untuk Muzium Paulista, sebaliknya ia sepatutnya menjadi monumen untuk kemerdekaan Brazil,” kurator Solange Ferraz de Lima memberitahu wartawan semasa lawatan pra-pembukaan. Muzium ini jauh dari bandar, tetapi kemudian dibina juga sebuah muzium.”
Bilik yang paling kerap dikunjungi di muzium itu menampilkan sebuah potret “Kemerdekaan atau Kematian,” lukisan oleh Pedro Américo yang bertarikh 1888 iaitu setahun sebelum Brazil menjadi sebuah republik.
Muzium Negara Rio de Janeiro, yang menyimpan koleksi artifak sejarah terbesar di Amerika Latin, mempunyai penampilan baharu selepas satu kejadian kebakaran yang hampir memusnahkan sepenuhnya pada 2018. Siaran harian Brazil O Globo melaporkan pembinaan semula tapak itu akan siap pada tahun 2026. – AP