Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Brazil mara ke peringkat seterusnya selepas menang 1-0 menentang Switzerland di Stadium 974, Doha, kelmarin.
Gol kemenangan Brazil pada minit ke-83 dihasilkan oleh pemain bahagian tengah, Carlos Henrique Casemiro yang juga pemain kelab Manchester United.
Perlawanan tersebut mencipta rekod yang baharu apabila Switzerland gagal menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Brazil buat kali pertama sejak Disember 1980.
Dengan kemenangan tersebut, Brazil telah menjadi pasukan pertama yang tidak tewas dalam 17 perlawanan peringkat kumpulan berturut-turut dalam sejarah Piala Dunia.
Brazil pada awalnya telah mendahului permainan melalui gol Vinicius namun dibatalkan oleh pengadil kerana ofsaid.
Meskipun tanpa kehadiran Neymar mahupun aksi cemerlang Richarlison semasa menentang Serbia tidak berulang dalam permainan kali ini, Brazil akhirnya mampu memecahkan benteng pertahanan Switzerland.
Pada perlawanan tersebut, Switzerland hanya mempunyai satu percubaan pada babak pertama, yang merupakan rekod terendah mereka sejak 2010 menentang Sepanyol.
Kini, Switzerland harus mempersiapkan diri mereka sebelum menentang Serbia untuk mara bersama-sama Brazil ke peringkat kalah mati.
