Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brazil sudi terima tapi bersyarat

    PORTO VELHO, 28 OGOS – Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, kini sudi untuk menerima bantuan asing bagi menangani kebakaran besar di hutan hujan Amazon, namun hanya sekiranya negara itu mengawal dana tersebut, menurut jurucakapnya hari ini.

    Pengumuman itu mencadangkan bahawa Bolsonaro mengetepikan gesaan awal agar Presiden Perancis Emmanuel Macron menarik balik ‘penghinaan’ ke atas dirinya sebelum dia menerima tawaran G7 untuk membantu menangani kebakaran di hutan hujan terbesar di dunia itu.

    “Kerajaan Brazil melalui Presiden Bolsonaro terbuka untuk menerima sokongan kewangan daripada organisasi-organisasi dan begitu juga daripada negara-negara,” kata Otavio Rego Barros kepada para pemberita di Brasilia, tanpa merujuk pada tawaran G7.

    “Apa yang penting adalah dana itu nanti setelah memasuki Brazil, akan berada di bawah kawalan rakyat Brazil.”

    Bolsonaro telah terlibat dalam perang mulut dengan Macron mengenai kebakaran besar yang melanda Amazon, kebakaran yang telah mencetuskan kebimbangan global dan mengancam memusnahkan satu perjanjian perdagangan besar antara Kesatuan Eropah dan negara-negara Amerika Selatan.

    Seorang pegawai tertinggi Brazil baru-baru ini menolak tawaran sebanyak AS$20 juta daripada negara-negara G7 bagi menangani kebakaran besar yang merosakkan hutan di Brazil dan Bolivia, dengan berkata Macron seharusnya ‘menjaga wilayah dan koloninya sendiri’.

    “Macron mesti menarik semula penghinaan yang dibuatnya ke atas saya,” kata Bolsonaro kepada para wartawan di Brasilia awal semalam. – AFP

    Gambar yang dikeluarkan oleh agensi berita kerajaan Brazil menunjukkan Bolsonaro ketika berucap kepada media di kediaman rasmi presiden. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda