SAO PAULO, 11 JUN – Brazil menempah tempat ke Piala Dunia 2026 di Amerika Utara kelmarin selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 di tempat sendiri ke atas Paraguay.
Ia merupakan kemenangan pertama Carlo Ancelotti selepas mengambil alih pasukan.
Juara dunia lima kali itu menempah tiket ke pusingan akhir di Kanada, Amerika Syarikat dan Mexico iaitu menerusi jaringan Vinicius Jr.
Bintang Real Madrid itu meluru ke kawasan gawang lawan pada minit ke-44 di Sao Paulo selepas hantaran silang dari pemain baharu Manchester United, Matheus Cunha.
Ia adalah hadiah sempurna untuk Ancelotti pada hari lahirnya yang ke-66, setelah menyaksikan pasukan baharunya terikat 0-0 di tangan Ecuador minggu lalu dalam perlawanan pertama sebagai jurulatih.
Bekas pengurus Real Madrid, Ancelotti memuji komitmen dan sikap pasukannya.
“Ia adalah perlawanan yang hebat dengan separuh masa pertama yang sangat baik, walaupun jelas kami mengalami sedikit kesukaran kerana Paraguay adalah lawan yang sangat mantap dan permainan kami sedikit perlahan pada babak kedua,” katanya.
Kemenangan 2-0 Uruguay ke atas Venezuela di Montevideo telah meningkatkan peluang kelayakan untuk kedua-dua pasukan Brazil dan Paraguay di Corinthians Arena.
Paraguay hanya memerlukan satu mata untuk layak manakala Brazil tahu mereka boleh mara dengan kemenangan.
Pada perlawanan itu, Brazil telah memanfaatkan peluang kekalahan Venezuela menerusi jaringan tunggal Vinicius sejurus sebelum separuh masa.
Brazil bergelut untuk mencipta banyak peluang, dengan Cunha mensia-siakan peluang keemasan pada minit ke-35 selepas tandukannya tersasar dari gawang gol.
Bagaimanapun, Cunha telah menebusnya pada bahagian penting di gawang, memanfaatkan kerja baik daripada Raphinha untuk maju ke dalam kotak penalti dan melakukan hantaran lintang untuk Vinicius, yang kemudiannya menjaringkan gol. – AFP
