BORDEAUX, 1 OGOS – Legenda Brazil, Marta menangis selepas dibuang padang dalam kekalahan 2-0 pasukannya oleh juara Piala Dunia, Sepanyol kelmarin yang menyebabkan mereka berisiko tersingkir di peringkat kumpulan dalam kejohanan bola sepak Olimpik wanita.
Marta dilayangkan kad merah terus pada masa kecederaan separuh masa pertama di Bordeaux kerana melakukan terjahan tinggi yang berbahaya ke atas kapten Sepanyol,
Olga Carmona betul-betul di hadapan pengadil.
Pemain berusia 38 tahun itu tidak dapat ditenangkan apabila dia keluar dari padang dalam apa yang mungkin menjadi aksi terakhirnya di Sukan Olimpik.
Pemenang anugerah pemain terbaik dunia wanita FIFA yang berulang kali itu sedang beraksi dalam Sukan Olimpik keenamnya dan pernah menjadi sebahagian daripada pasukan yang memenangi pingat perak pada 2004 dan 2008.
Harapannya untuk beraksi semula dalam kejohanan itu bergantung kepada sama ada Brazil layak ke suku akhir.
Athenea del Castillo menjaringkan gol pada pertengahan separuh masa kedua untuk meletakkan Sepanyol yang sudah layak di hadapan, dan Alexia Putellas menjaringkan gol kedua pada minit ke-17 pada masa kecederaan yang panjang.
Kemenangan ketiga berturut-turut Sepanyol dalam Kumpulan C bermakna mereka akan menuju ke Lyon untuk perlawanan suku akhir pada Jumaat.
Jepun menamatkan saingan di tempat kedua dalam kumpulan selepas menewaskan Nigeria 3-1 pada masa yang sama di Nantes, dengan Maika Hamano, Mina Tanaka dan Hikaru Kitagawa menjaringkan gol masing-masing, yang terakhir melalui tendangan percuma yang amat baik. – AFP