Monday, May 12, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    BRC sambut ulang tahun penubuhan ke-77

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (BRC) berperanan utama untuk menyediakan dan memberikan perkhidmatan sukarela dalam pertolongan kecemasan dan memastikan keselamatan nyawa serta harta benda dalam keadaan perang, situasi bencana dan penularan wabak.

    Malahan ketika waktu aman dan damai, persatuan berkenaan berperanan membina kekuatan masyarakat dalam pelbagai bidang seperti kesihatan awam, kesihatan mental, siaga bencana dan memeduli masyarakat yang terkesan oleh pelbagai fenomena dan isu semasa.

    “Pada hakikatnya, peranan BRC adalah untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan pada setiap masa.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Presiden BRC, Puan Lailatul Zubaidah Hussain dalam ucapannya di Majlis Ulang Tahun Penubuhan Persatuan Brunei Sabit Merah Negara Brunei Darussalam ke-77, Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia 2025 yang berlangsung di Ruang Legar, BRC Knowledge Hub, hari ini.

    Puan Lailatul Zubaidah berucap dalam majlis berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat adalah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad yang juga menyempurnakan penyampaian surat cara lantikan kepada ahli Majlis Kebangsaan, ahli Lembaga Jemaah Tadbir dan sijil pengiktirafan akreditasi agensi latihan berdaftar di bawah Akademi Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi yang menghadiri majlis berkenaan.

    Dalam ucapannya lagi, Puan Lailatul Zubaidah menyatakan semasa penularan COVID-19 yang lalu, BRC telah memainkan peranan utama dalam menjadi sukarelawan barisan hadapan yang pertama sekali membantu Kementerian Kesihatan dan seterusnya berperanan menubuhkan Kumpulan Sukarelawan COVID-19 bersama pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan yang lain.

    “Saya amat teruja dan turut berbangga dengan sumbangan persatuan ini yang telah mencurah bakti tanpa mengira masa, wang ringgit dan keselamatan diri,” ulas beliau.

    Mengulas mengenai tema Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia 2025 yang mengangkat isu-isu kemanusiaan global, beliau menyatakan kebimbangan apabila pencabulan terhadap hak asasi kemanusiaan semakin meruncing dan menjadi cabaran kepada undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

    Puan Lailatul Zubaidah berkata, “ BRC yang juga ahli kepada Federasi Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa Geneva yang terikat dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Konvensyen Geneva, berdiri teguh bersama warga dunia mengutuk kezaliman Rejin Israel.”

    Beliau turut menyatakan bahawa BRC telah menyampaikan sumbangan dana sebanyak $1,000 kepada Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza pada 2023 sebagai satu sumbangan kecil berserta doa dalam membantu mangsa meneruskan kehidupan mereka serta untuk mencapai kemerdekaan tanah air mereka yang berdaulat.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian surat dan sijil pengiktirafan kepada para penerima dan penyerahan sumbangan daripada BRC kepada Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza Tahun 2023 yang disampaikan oleh Puan Lailatul Zubaidah.

    Atas & Bawah: YB Dato Seri Setia Haji Nazmi menyempurnakan penyampaian surat dan sijil pengiktirafan kepada antara penerima.

    YB Dato Seri Setia Haji Nazmi menerima sumbangan bagi Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 daripada BRC yang diserahkan oleh Puan Lailatul Zubaidah.
    YB Dato Seri Setia Haji Nazmi bergambar ramai dengan ahli Majlis Kebangsaan dan ahli Lembaga Jemaah Tadbir BRC.  

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda