Wednesday, July 16, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brek kereta awda kerap berbunyi?

    Brek merupakan salah satu komponen kereta yang paling penting. Ia berfungsi untuk memperlahankan dan menghentikan kereta yang sedang bergerak laju bagi tujuan keselamatan.

    Kebanyakan bunyi brek dianggap normal selagi ia tidak menunjukkan sebarang masalah atau memberi kesukaran kepada kenderaan untuk beroperasi. Namun jika brek kereta awda kerap mengeluarkan bunyi yang agak kuat seperti berdesing semasa menekan brek, jangan ambil ringan kerana ia sebenarnya adalah tanda-tanda bahawa brek kereta awda perlu ditukar.

    Menurut laman blog BJAK, bunyi brek yang pelik dan berterusan boleh memberi tanda bahawa perkakasan brek awda perlu dilincirkan, atau ia boleh menjadi amaran bahawa komponen sistem brek kereta awda haus atau perlu diservis.

    FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KETAHANAN BREK KERETA

    Jenis pad brek

    Jenis pad brek yang awda gunakan mempengaruhi ketahanannya. Terdapat beberapa pilihan jenis pad brek iaitu brek logam, brek separa logam, brek organik dan brek sintetik (seramik).

    • Pad brek organik: Murah tetapi tidak dapat bertahan dengan lama
    • Pad brek logam: Mungkin mengeluarkan banyak bunyi, tetapi ia mempunyai jangka hayat yang lebih lama sedikit daripada organik.
    • Pad brek separa logam: Lebih mahal tetapi jangka hayat yang panjang
    • Pad brek seramik: Tahan lebih lama dan paling kurang haus tetapi ia biasanya lebih mahal berbanding dengan pad lain.

    Pastikan awda menghantar kereta ke mana-mana pusat servis kereta untuk membuat pemeriksaan secara berkala. – Agensi
    Brek merupakan salah satu komponen kereta yang paling penting. – Agensi
    Brek cakera yang semakin menipis dan haus perlu diganti. – Agensi

    Kekerapan pemanduan

    Jika awda kerap menggunakan kereta dalam kehidupan harian awda, tentunya awda menggunakan brek awda lebih banyak dan pad brek awda akan haus dengan lebih cepat.

    Pad brek hadapan berkemungkinan haus lebih cepat daripada pad brek belakang kerana bahagian hadapan kereta awda mengendalikan lebih banyak tekanan brek.

    Bilangan penumpang

    Adakah awda selalu membawa muatan barangan yang banyak di bahagian but kereta? Atau mungkin awda selalu membawa bilangan penumpang yang ramai dalam kereta awda?

    Tahukah awda, brek akan menjadi lebih sukar untuk berfungsi dan memerlukan tekanan yang banyak lebih kuat untuk berhenti sekiranya muatan yang dibawa adalah berat. Hal itu secara tidak langsung akan menjejaskan ketahanan pad brek kereta awda.

    TANDA-TANDA PAD BREK PERLU DITUKAR

    Apabila brek kereta awda mula mengeluarkan bunyi, ia adalah antara tanda awda perlu menukar brek kereta tersebut dengan segera. Sistem brek pada sesebuah kereta perlu diselenggarakan secara konsisten untuk memastikan pemanduan awda selamat.

    Bunyi bergesel

    Sekiranya pad brek awda sudah mula kehausan, ia akan menghasilkan bunyi seperti geselan. Ia merupakan antara tanda-tanda brek kereta tersebut perlu ditukar.

    Tahap kecekapan brek

    Satu lagi tanda utama bahawa brek awda perlu periksa ialah penurunan prestasi (kecekapan brek) apabila menggunakan brek.

    Jika awda mengalami masa yang lama untuk menghentikan kenderaan awda, ini mungkin bermakna pad brek awda sudah haus sepenuhnya atau bendalir brek awda rendah (selalunya disebabkan oleh kebocoran).

    Ia berkemungkinan besar brek cakera kereta awda tidak mampu untuk memberikan daya tahan yang cukup untuk memberhentikan tenaga kinetik pada roda yang berputar.

    Lampu indikator menyala

    Sesetengah kenderaan dilengkapkan dengan simbol-simbol indikator pada panel meter yang memberitahu pemandu sekiranya terdapat kerosakan berlaku.

    Lampu amaran tersebut akan menyala apabila brek tangan tidak dilepaskan ataupun minyak brek di dalam takungan (reservoir) berkurangan. Keadaan tersebut berlaku (minyak menjadi kurang) disebabkan oleh ketebalan pad brek yang juga berkurangan.

    Pad brek haus

    Brek cakera yang semakin menipis dan haus perlu diganti. Manual servis kereta harus mempunyai maklumat mengenai ketebalan minimum brek cakera atau ada ukiran pada cakera itu sendiri.

    Sekiranya brek cakera tersebut mempunyai bibir yang kelihatan di tepi di mana ia menyentuh pad, awda boleh lihat dengan jelas bagaimana pad brek telah memakan permukaan cakera itu sendiri.

    CARA PEMERIKSAAN PAD BREK KERETA

    Pemeriksaan di pusat servis

    Jika awda tidak mempunyai kemahiran untuk memeriksa keadaan pad brek kereta awda, pastikan awda menghantar kereta ke mana-mana pusat servis kereta untuk membuat pemeriksaan secara berkala.

    Pusat servis wajib mengukur ketebalan pad brek setiap kali kereta dihantar untuk diservis.

    Awda boleh menghantar kereta awda ke pusat servis pada setiap tiga atau enam bulan sekali untuk mengenal pasti ketebalan pad brek.

    Lakukan pemeriksaan sendiri

    Awda juga boleh melakukan pemeriksaan pad brek dengan sendiri dengan bantuan manual yang ada. Bagaimana?

    Pertama sekali, awda perlu tahu bahawa setiap pad brek mempunyai penanda logam yang akan menghasilkan bunyi ketika menekan brek. Sekiranya awda mendengar bunyi bising ketika menggunakan brek kereta, ketahuilah bahawa itu menandakan pad brek awda sudah menipis dan kehausan.

    Awda disarankan untuk terus menukar pad brek itu kerana ianya sudah tidak dapat berfungsi dengan baik lagi. Lampu indikator sistem brek juga akan menyala jika pad brek menipis.

    Kedua, awda boleh ketahui keadaan pad brek kereta melalui masa dan jarak penggunaan kereta anda. Sekiranya kereta sudah dipandu lebih setahun, atau dipandu lebih 20,000 kilometer, tahap ketebalan pad brek perlu dipantau meskipun ia mungkin masih dalam keadaan yang baik.

    APA BERLAKU JIKA PAD BREK KERETA TIDAK DITUKAR

    Menyebabkan kemalangan

    Fungsi pad brek kereta adalah untuk menghenti dan memperlahankan kenderaan yang bergerak. Pad brek yang nipis tidak lagi mempunyai kecekapan untuk berfungsi dengan efektif. Kereta awda mungkin akan mengambil masa yang lama untuk berhenti semasa menekan brek di atas jalan.

    Akibatnya, awda berisiko tinggi untuk mengalami kemalangan di atas jalan raya.

    Kerosakan komponen lain

    Selain berfungsi untuk menghentikan kenderaan, pad brek juga berperanan untuk mengelak geseran langsung antara permukaan brek dan roda.

    Geseran dua komponen daripada besi itu akan menyebabkan kesan seperti bunyi berdecit dan bau seakan terbakar pada bahagian belakang enjin.

    Lebih parah, brek dan roda boleh haus dan berubah bentuk.

    Jadi, apa perlu dilakukan adalah menukar pad brek atau brek baharu. Jangan abaikan komponen penting ini kerana kesan yang bakal awda tanggung sangat besar.

    Selain menyebabkan kerugian secara material, awda juga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

    Pemeriksaan secara berkala

    Kami berharap perkongsian entri kali ini dapat membantu awda pada masa hadapan sekiranya awda berhadapan dengan masalah pad brek kereta awda.

    Awda perlu menjadi lebih peka dan berhati-hati dengan penggunaan kereta awda.

    Sekiranya pad brek kereta awda mula mengeluarkan bunyi dengan kerap, penting untuk awda segera menghantar kereta ke pusat bengkel untuk melakukan pembaikan.

    Ingat ya, lebih lama awda tangguh, lebih tinggi kos yang perlu dikeluarkan kerana berkemungkinan menyebabkan kerosakan terhadap komponen yang lain juga.

    Pastikan awda periksa keadaan kereta awda sebelum memandu untuk perjalanan jauh. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda