Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brendan Rodgers letak jawatan sebagai pengurus Celtic

    LONDON, 28 OKT – Brendan Rodgers telah meletakkan jawatan sebagai pengurus Celtic, dengan pemegang saham utama kelab gergasi Scotland itu menuduh pengurus itu berkelakuan ‘memecahbelah, mengelirukan dan mementingkan diri sendiri’.
     
    Bekas pengurus Martin O’Neill, 73 dan bekas pemain Shaun Maloney akan mengambil alih tugas sehingga pengganti tetap dilantik, menurut kenyataan kelab itu, kelmarin.
     
    Tempoh kedua Rodgers bersama Celtic berakhir selepas kekalahan 3-1 kepada Hearts dalam saingan Scottish Premiership pada Ahad, yang menyaksikan mereka ketinggalan lapan mata di belakang pasukan Edinburgh itu di tangga kedua.
     
    “Brendan meninggalkan pasukan itu dengan ucapan terima kasih atas peranannya sepanjang tempoh kejayaan berterusan kelab, dan kami mendoakan kejayaan beliau pada masa hadapan,” kata kenyataan itu.
     
    “Kami berbesar hati kerana dalam tempoh peralihan ini, bekas pengurus Celtic, Martin O’Neill dan bekas pemain Celtic, Shaun Maloney, telah bersetuju untuk mengendalikan pasukan utama,” tambah kenyataan tersebut.
     
    Brendan Rodgers semasa perlawanan peringkat Liga UEFA Europah antara Celtic dan Sturm Graz di Celtic Park, Glasgow pada 23 Oktober. – AFP
    Kelab itu turut memaklumkan, pencarian pengganti tetap telah pun bermula, dengan bekas pengurus Ange Postecoglou antara calon pilihan selepas beliau baru-baru ini telah dipecat oleh Nottingham Forest.
     
    Rodgers, 52, kembali ke Celtic Park  untuk tempoh kedua pada 2023 dan meraih dua kejuaraan liga berturut-turut, menambah kepada kejayaannya pada 2017 dan 2018.
     
    Namun, prestasi kelab merosot musim ini apabila Celtic tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah di tangan pasukan kerdil Kazakhstan, Kairat Almaty.
     
    Rodgers dilaporkan tidak sehaluan dengan pihak pengurusan mengenai dasar perpindahan pemain musim panas lalu.
     
    Selepas kekalahan pertama Celtic di Dundee dalam tempoh 37 tahun awal bulan ini, beliau berkata pasukannya telah “kehilangan banyak kuasa serangan dan banyak gol.”
     
    Dalam kenyataan berasingan kelmarin, pemegang saham utama Celtic, Dermot Desmond, membalas kenyataan Rodgers dengan mengatakan kritikan itu datang “tanpa sebarang sebab yang jelas.”
     
    “Walaupun diberi banyak peluang, dia gagal mengenal pasti satu pun contoh di mana kelab telah menghalangnya atau tidak menyokongnya. Fakta tidak sepadan dengan naratif awamnya,” katanya.- AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda