Brent capai tahap terendah dua dekad

HONG KONG, 22 APRIL – Brent mencapai tahap terendah dalam tempoh dua dekad hari ini sekali gus melanjutkan lagi perkembangan yang sudah pun menjejaskan pasaran tenaga, meskipun bursa saham di Asia dan Eropah diniagakan bercampur-campur berikutan penjualan selama dua hari.

Dengan permintaan hampir tiada disebabkan oleh perintah berkurung akibat virus dan pengeluaran yang masih tinggi walaupun tahap penyimpanan hampir penuh, pasaran minyak mentah mengalami kejatuhan ketara dengan WTI untuk penghantaran bulan Mei menyusut sehingga -AS$40, pada urus niaga Isnin lalu.

Tumpuan kini beralih kepada kontrak Jun, yang bermula dengan baik hari ini berikutan berita bahawa pengeluar utama sudah mengadakan perbincangan. Bagaimanapun ia kembali terjerumus menjadi ‘merah’ pada sebelah petang, selepas hilang hampir separuh nilainya sehari sebelum itu, dengan Brent jatuh hampir satu perlima.

WTI telah melonjak 20 peratus sebelum kembali rendah lebih empat peratus kemudiannya, sementara Brent susut lebih daripada 11 peratus selepas awalnya jatuh 18 peratus kepada AS$15.98 – paling rendah sejak 1999.

Krisis di pasaran minyak yang disebabkan oleh koronavirus diparahkan lagi dengan perang harga antara Rusia dan Arab Saudi. Malah, tindakan kedua-dua negara itu dan pengeluar utama lain mengurangkan pengeluaran sebanyak 10 juta tong sehari, juga tidak memadai.

“Ketidaktentuan minyak mentah menggambarkan secara dasarnya tiada permintaan untuk minyak fizikal dan tidak ada tempat untuk menyimpannya,” kata Stephen Innes daripada AxiCorp. – AFP