LONDON, 30 MEI – Brentford dipromosikan ke Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam tempoh 74 tahun kelmarin selepas mereka berjaya mengalahkan Swansea 2-0 di final playoff Liga Kejuaraan yang dianggarkan bernilai 180 juta pound kepada pemenang.
Pasukan kendalian Thomas Frank melengkapkan kemenangan hasil gol Ivan Toney dan Emiliano Marcondes pada separuh masa pertama di Wembley.
Pemain Swansea, Jay Fulton dibuang padang pada pertengahan perlawanan separuh masa kedua untuk menjadikan keputusan hampir sukar dikejar dalam pertemuan yang dianggap sebagai perlawanan paling lumayan dalam bola sepak kerana pendapatan penyiaran yang diterima oleh kelab Liga Perdana Inggeris.
Selepas terkandas di liga bawahan selama beberapa dekad, Brentdford akan menjadi salah sebuah kelab terkerdil yang pernah bermain di liga utama.
Dalam hanya musim kedua di stadium baharu, Brentford Community Stadium, The Bees akan mengalu-alukan kunjungan pasukan besar seperti Manchester City, Manchester United dan Liverpool ke barat London.

Durian runtuh diterima dari kemenangan akan memberikan faedah untuk Brentford yang akhirnya berjaya memadam kenangan pahit tewas di playoff sebelum ini.
Ditundukkan oleh Fulham pada final Liga Kejuaraan musim lalu, Brentford gagal meraih promosi dalam semua sembilan penampilan playoff sebelum musim ini.
Tiada pasukan yang mencatat lebih banyak kekalahan di final playoff berbanding Brentford iaitu sebanyak empat kali, tetapi Frank menegaskan nasib malang itu tidak akan memberi kesan.
Ramalan pengurus The Bees itu terbukti tepat di mana dia menjadi pengurus kelahiran Belanda pertama untuk memenangi promosi liga bola sepak.
“Saya tidak tahu jika saya dapat menjelaskannya. Ia adalah satu perjalanan yang panjang,” kata Frank.
“Pemain-pemain ini sangat luar biasa. Semua orang memainkan peranan besar. Perasaan tenang dan santai serta bersedia untuk terus berjuang,” tambahnya.
“Ketika ini saya mahu meraikan kemenangan dan kemudian mula memikirkan mengenai Liga Perdana Inggeris esok!” – AFP