LONDON, 4 JULAI – Brentford telah menandatangani pemain pertahanan Republik Ireland, Nathan Collins dari Wolves dengan bayaran rekod kelab AS$29 juta hari ini.
Collins bersetuju dengan kontrak selama enam tahun bersama kelab Liga Perdana itu selepas menghabiskan hanya satu musim di Molineux. Pemain berusia 22 tahun itu, yang sebelum ini bermain untuk Stoke dan Burnley, akan menjadi pemain Brentford yang ‘sempurna’ menurut pengurus The Bees, Thomas Frank.
“Dia merupakan pemain pertahanan tengah yang sangat berbakat dan masih muda. Dia mempunyai banyak kebolehan yang sangat baik yang kami hargai,” kata Frank.
“Tandukannya di kedua-dua kotak adalah perkara penting, baik dalam permainan terbuka dan sepakan percuma, yang penting dalam Liga Perdana.
“Perwatakannya memang bagus. Saya yakin dia akan sesuai dengan budaya pasukan kami.
“Saya melihat potensi kepimpinan dalam diri Nathan. Dia pemain Brentford yang sempurna dan bercita-cita tinggi dengan keinginan untuk belajar.” Brentford sedang berusaha memperbaiki prestasi liga mereka selepas menamatkan kempen 2022-23 di kedudukan kesembilan.
“Ini adalah kelab yang sedang berkembang dan saya dapat melihat visi mereka. Saya sangat bersemangat untuk berada di sini,” kata Collins. – AFP


