LONDON, 31 MAC – Gol pertama jaringan Mason Mount di Manchester United tidak mencukupi untuk menang di Brentford apabila gol penyamaan Kristoffer Ajer pada minit ke-99 menjadikan keputusan seri 1-1 kelmarin.
Brentford kelihatan mendominasi keseluruhan perlawanan dengan empat percubaan mengenai gawang United tetapi jaringan Mount telah mengubah keadaan.
Tetapi United gagal bertahan, memberikan satu lagi tamparan kepada peluang mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara, ketika Ivan Toney memberikan peluang kepada Ajer untuk meledak gol.
Keputusan seri menjadikan pasukan Erik ten Hag ketinggalan 11 mata dari kedudukan empat teratas dan ketinggalan lapan mata di belakang Tottenham yang berada di tangga kelima.
Kapten Bees, Toney itu adalah salah seorang daripada empat pemain Brentford yang percubaannya terkena gawang ketika jumlah serangan ke arah United mencecah 31 kali percubaan ke arah gol.

Tandukan Mathias Jorgensen turut tersasar mengenai atas palang dan Wissa juga merembat terkena bahagian luar tiang gol United.
Rasmus Hojlund kurang menonjol pada mulanya tetapi hampir mendapat peluang menjaring gol peribadinya yang ketujuh tetapi dihalang dengan cemerlang oleh Mark Flekken.
Di hujung yang lain, percubaan Wissa tersasar sedikit sebelum Andre Onana menunjukkan tindak balas pantas untuk menafikan percubaan Yehor Yarmolyuk dan Keane Lewis-Potter berturut-turut.
Walaupun Toney akhirnya berjaya menjaringkan gol apabila merembat masuk hantaran lintang daripada pemain gantian Bryan Mbeumo, tetapi dibatalkan kerana ofsaid.
Bos Brentford, Frank hampir tidak percaya nasib malangnya apabila dalam serangan yang jarang berlaku dari United, Casemiro berjaya mencipta peluang untuk Mount merembat ke sudut jauh menghasilkan gol.
Namun, pasukan tuan rumah masih belum dapat dikalahkan apabila kawalan bola yang menarik dari Toney sebelum melakukan hantaran kepada Ajer untuk meraih satu mata yang sekurang-kurangnya selamatkan Brentford dari zon penyingkiran. – AFP