LONDON, 31 Dis – Persatuan Bola Sepak (FA) England memberikan sokongan padu kepada penja-ring terbanyak skuad juara Piala Dunia Bawah 17 England, Rhian Brewster yang mendakwa mengalami penderaan perkauman dan akan “berusaha mendapatkan tindak balas sewajarnya daripada pihak yang berkaitan”. Pemain berusia 17 tahun itu yang masih menanti penampilan sulungnya bersama skuad utama Liverpool pada Khamis lalu mendakwa UEFA tidak ambil peduli’ tentang perkauman.
Menurut Brewster, sepanjang tahun ini dia menyaksikan penderaan berkaitan perkauman sebanyak tujuh kali sama ada ditujukan kepadanya atau rakan sepasukan. FA dalam satu kenyataan semalam berkata mereka memahami kekecewaan dialami bintang muda itu.
“Dalam kes Rhian, kami mengunjunginya di kelab untuk berbincang tentang perkara itu dan memahami kekecewaannya apabila tiada tindakan diambil,” kata kenyataan itu.
“Dia mendapat sokongan penuh kami dan kami akan meneruskan usaha mendapatkan tindak balas sewajarnya daripada pihak terbabit.”
FA juga berkata mereka akan bekerjasama dengan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan badan induk bola sepak dunia (FIFA) berkenaan isu ini.
Brewster yang meledak dua hatrik dalam dua perlawanan di Piala Dunia B-17 termasuk satu ketika separuh akhir menentang Brazil, pada Khamis lalu berkata UEFA tidak memberi perhatian berkenaan isu ini.
“Saya tidak rasa UEFA mengambil perkara ini dengan serius. Mereka tidak peduli. Itu yang saya rasakan, seperti ia cuba disembunyikan,” katanya. – AFP