Saturday, October 19, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brexit: hubungan dua hala Brunei, UK tetap utuh

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Hubungan persahabatan yang erat dan kerjasama dua hala yang kukuh antara Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom (UK) tidak akan terjejas berikutan dengan Brexit di mana UK secara rasminya akan berundur daripada Kesatuan Eropah (EU).

    Hubungan dua hala yang baik dan kukuh yang dinikmati oleh kedua-duanya dipercayai akan terus teguh serta bakal menyaksikan pelbagai usaha dilaksanakan untuk meningkatkan lagi kerjasama dan perdagangan dua hala.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Lindsay dalam temu bual dengan Media Permata mengenai Brexit yang berlangsung di Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, di ibu negara, hari ini.

    Beliau yakin bahawa Brunei dan UK akan terus menikmati hubungan persahabatan yang erat dan akan terus meneroka peluang-peluang kerjasama yang baharu dalam pelbagai bidang, selain mencari peluang pelaburan dan perdagangan yang bermanfaat bersama.

    Beliau juga yakin hubungan dua hala yang dinikmati bersama termasuk dalam bidang pertahanan dan pendudukan akan terus diperkukuhkan.

    TYT Richard Lindsay menyatakan bahawa Brunei dan UK akan terus menikmati hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang walaupun UK secara rasmi berundur daripada EU pada 31 Januari.

    Mengulas mengenai kesan Brexit kepada penuntut-penuntut yang belajar di UK termasuk penuntut-penuntut Brunei, beliau menyatakan bahawa UK terus menjadi pilihan bagi para pelajar dari seluruh dunia untuk melanjutkan pengajian mereka di universiti-universiti terkemuka di negara tersebut.

    Selain itu, UK turut memberikan peluang kepada para pelajar antarabangsa yang melanjutkan pengajian mereka di UK termasuk pelajar-pelajar Brunei untuk menjalani pengalaman bekerja (Post Study Work Experience) selama dua tahun selepas menamatkan pengajian mereka supaya mereka lebih berkemahiran sebelum kembali ke tanah air masing-masing.

    Ia merupakan satu perubahan kepada peraturan visa UK yang diperkenalkan baru-baru ini, jelasnya di mana beliau percaya ia merupakan peluang yang amat baik bagi para pelajar Brunei untuk melanjutkan pengajian dan memperoleh pengalaman bekerja.

    Terdahulu dalam temu bual itu, TYT Richard Lindsay menerangkan bahawa UK secara rasmi berundur daripada EU dan ia merupakan satu peristiwa yang amat bermakna serta bersejarah bagi negara itu di mana mereka menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

    Menerusi pengunduran itu, fasa baharu bermula di UK bagi melaksanakan hubungan perdagangan yang baharu bersama EU dan seluruh dunia dengan menekankan prinsip dan nilai-nilai yang kukuh untuk terus memainkan peranan yang penting di pentas dunia, memberikan bantuan, menekankan pentingnya menangani perubahan iklim serta terus untuk bekerjasama dengan negara-negara sahabat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda