BEIJING, 7 APRIL – Bangladesh memerlukan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan menjadi negara pertama di rantau Asia Selatan yang memeterai memorandum persefahaman mengenai kerjasama berkenaan, kata ketua penasihat kerajaan sementara Bangladesh, Muhammad Yunus.
Yunus berkata kesalinghubungan adalah amat diperlukan Bangladesh dan pengangkutan melalui lebuh raya adalah kaedah berkesan untuk penghantaran barangan.
Menurut beliau, Bangladesh perlu membina sejumlah besar fasiliti pengangkutan lebuh raya sebagai usaha membangunkan ekonomi yang sihat berdasarkan jaringan pengangkutan darat.
“Justeru kerjasama BRI memainkan pera-nan signifikan dan bakal membawa manfaat kepada rakyat,” kata beliau dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG).
Yunus turut mengibaratkan jaringan pengangkutan darat sebagai nadi ekonomi negara yang nilainya bukan hanya terletak pada titik permulaan dan penamat, tetapi membawa manfaat kepada sepanjang laluan.
“Dengan menyambung banyak cabang jalan, ia bakal merancakkan perdagangan antara satu sama lain, memacu pertumbuhan ekonomi di bandar dan pekan sekali gus membawa kedinamikan kepada kawasan komuniti.
“Oleh itu, kami memberi perhatian tinggi kepada BRI dan amat bersetuju dengan inisiatif itu,” ujar beliau.
Yunus menghadiri sidang tahunan Forum Asia Boao (BFA) yang berlangsung di provinsi Hainan dan melawat Beijing pada 26 hingga 29 Mac. – Bernama
