BEIJING, 28 April – Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) oleh China merupakan rancangan pembangunan bersama negara-negara peserta dan bukan strategi Beijing untuk mendominasi, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya beliau kini lebih memahami inisiatif mengenai pembangunan itu dan menyokongnya kerana ia akan memberi kebaikan kepada negara.
“Kita merasakan rancangan BRI itu bukan rancangan dominasi oleh China, yang akhirnya akan dikuasai oleh China, sebaliknya ia adalah dasar ciptaan semua negara dan bukan hanya tertumpu kepada China, ” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media dengan wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerjanya yang diadakan selama lima hari ke China untuk menghadiri Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa (BRF) kedua yang berakhir semalam.
Forum antarabangsa berkenaan telah dihadiri 37 pemimpin dari seluruh dunia dan 5,000 wakil dari 150 negara.
Perdana Menteri berkata pada mulanya beliau menyangkakan bahawa BRI merupakan usaha China untuk menguasai Asia Tenggara kerana jajaran laluan dagang projek itu melalui Laut China Selatan dan Selat Melaka.
Bagaimanapun, katanya lagi dengan menghadiri forum yang diadakan selama tiga hari yang berakhir semalam, mendapati ia merupakan kerjasama untuk memajukan negara-negara peserta melalui pembinaan infrastruktur dan pembiayaan oleh pihak bank. – Bernama