Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brian Bothwell hadir beri inspirasi kepada bakat tempatan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Bekas pemain import sensasi negara, Mohammed Brian Iman Abdullah Bothwell (Brian Bothwell), yang membantu pasukan Bola Sepak Kebangsaan menjuarai Piala Malaysia 1999 telah memberi kejutan indah dan juga suntikan inspirasi kepada para pemain apabila menghadiri sesi latihan dengan pasukan Gergasi FC di Padang A, Kompleks Sukan UBD, baru-baru ini.

    Beliau yang berada di Negara Brunei Darussalam dalam rangka mengadakan lawatan dan kunjungan muhibah kepada rakan-rakan pasukan kebangsaan yang sama-sama berjuang dalam kejohanan Piala Malaysia.

    “Saya merasa bangga dan gembira apabila menyaksikan rakan-rakan seperjuangan dulu, kini masih aktif dengan mengemudikan pasukan-pasukan di samping mencurahkan pengalaman mereka kepada pemain-pemain muda tempatan. Ia sangat bermanfaat kepada perkembangan bola sepak tempatan,” jelasnya.

    Beliau melahirkan keyakinan jika pemain-pemain muda memberikan tumpuan sepenuhnya dengan mengikuti sesi latihan secara konsisten, tidak mustahil pemain-pemain berkenaan akan mampu melangkah lebih jauh dalam kerjaya bola sepak.

    Sementara itu, ketua jurulatih Gergasi FC, Haji Mohd. Rosanan Abdullah Samak menghargai sokongan yang diberikan oleh ‘rakan lama’ tersebut sekali gus menyifatkan kehadirannya membantu menyuntik dan meningkatkan inspirasi kepada anak buahnya yang sedang bersaing dalam kejohanan Liga Bola Sepak Jemputan Piala Lela Cheteria.

    Semasa sesi latihan, bekas pemain bola sepak profesional kelahiran Glasgow, Scotland tersebut berkongsi pandangan dan memberi nasihat kepada pemain-pemain skuad yang rata-rata teruja dengan kehadiran beliau.

    Pertemuan bekas rakan sepasukan, Brian Bothwell dan Haji Mohd Rosanan semasa latihan pasukan Gergasi FC.
    Atas & Bawah: Brian Bothwell membuat kejutan indah dengan menghadiri sesi latihan pasukan Gergasi FC.

    Brian Bothewll bergambar ramai dengan Pasukan Gergasi FC. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN GERGASI FC
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda