WASHINGTON, 8 JULAI – Brian Campbell mencatat par di lubang pertama dalam aksi penentuan kematian mengejut untuk menewaskan Emilio Grillo sekali gus merangkul gelaran kedua Jelajah PGA musim 2025 di Kejohanan John Deere Classic.
Campbell, 32, sebelum ini memenangi gelaran pertamanya di Mexico Open pada Februari lalu – pencapaian yang membuktikan ketabahannya kembali ke jelajah utama selepas bergelut dengan kecederaan yang hampir menamatkan kariernya selepas musim rookie pada tahun 2017.
Dalam pusingan akhir pada Ahad, Campbell dan pemain Argentina, Grillo, masing-masing mencatat empat bawah par 67 untuk menamatkan 72 lubang dengan jumlah 18-bawah par 266 di TPC Deere Run.
Bagi penentuan, kedua-dua pemain kembali ke lubang ke-18, par-empat, di mana pukulan kedua Campbell dari fairway mendarat 16 kaki dari pin.
Grillo pula memukul bola dari rough kanan, dan pukulan keduanya terlalu laju sehingga melepasi green.

Cubaan chip beliau hanya berjaya membawa bola ke jarak 23 kaki dari lubang, dan selepas gagal menjadikannya birdie, Campbell dengan tenang menyempurnakan dua putt untuk merangkul kemenangan.
“Saat ini terasa seperti mimpi,” kata Campbell, yang pernah menuntut di kolej di Illinois dan membuat penampilan sulung Jelajah PGA di kejohanan ini.
“Segalanya bermula di sini sebagai pemain amatur, jemputan pertama saya ke sini… saya tiada kata-kata. Untuk berada dalam penentuan, dan menamatkannya sebegini, memang luar biasa.”
Campbell, yang juga memenangi kejohanan di Mexico menerusi penentuan playoff, mendahului dua pukulan selepas melakukan putt sejauh 14 kaki di lubang ke-13 untuk birdie kelimanya hari itu.
Namun, beliau kehilangan kelebihan tersebut selepas melakukan double bogey di lubang ke-15, tetapi kembali mendahului dengan satu pukulan selepas birdie di lubang ke-17.
Di belakangnya, Grillo menyamakan kedudukan dengan birdie sejauh lapan kaki di lubang ke-17 – birdie kelimanya juga – dan hampir mencuri kemenangan di lubang ke-72 apabila putt birdienya sejauh 37 kaki hanya tersasar satu inci.
David Lipsky, yang memburu kejuaraan pertamanya, bermain dalam kumpulan terakhir dan menyamai kedudukan pendahulu selepas eagle sejauh lapan kaki di lubang ke-17.
Namun, harapannya musnah selepas bogey di lubang terakhir.
Beliau berkongsi tempat ketiga bersama Kevin Roy, yang mencatat enam birdie dalam skor 65, enam bawah par.
Max Homa menamatkan saingan dengan catatan 69 untuk mengetuai kumpulan enam pemain yang terikat dengan jumlah keseluruhan 268. – AFP