JOHANNESBURG, 24 OGOS – Pemimpin BRICS mengumumkan hari ini penyertaan enam negara baharu mulai tahun depan ketika kelab ekonomi yang sedang pesat membangun dengan populasi besar berusaha untuk membentuk semula peraturan global.
Negara-negara BRICS, Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan bersetuju pada sidang kemuncak tahunan mereka untuk menjadikan Argentina, Etiopia, Iran, Arab Saudi, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu sebagai ahli penuh mulai 1 Januari depan.
“Penambahan keahlian ini adalah sejarah,” kata Presiden China, Xi Jinping, yang negaranya merupakan kuasa paling berpengaruh dalam kumpulan negara bukan Barat yang mewakili satu perempat daripada ekonomi dunia.
“Pertambahan itu juga merupakan titik permulaan baharu bagi kerjasama BRICS. Ia akan membawa semangat baharu kepada mekanisme kerjasama BRICS dan mengukuhkan lagi kuasa untuk keamanan dan pembangunan dunia.”
Perdana Menteri Etiopia, Abiy Ahmed memuji apa yang disebutnya sebagai ‘saat yang hebat’ bagi negaranya.
“Etiopia bersedia bekerjasama dengan semua untuk mendapatkan peraturan global yang inklusif dan makmur,” katanya di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
Di Iran, penasihat kanan presiden, Mohammad Jamshidi menyifatkan langkah itu sebagai perkembangan bersejarah dan kejayaan strategik bagi dasar luar negara Tehran.
Seruan untuk mengembangkan BRICS telah mendominasi agenda pada sidang kemuncak tiga harinya di Johannesburg dan mendedahkan pepecahan dalam kumpulan berkenaan dengan kadar dan kriteria untuk menerima ahli baharu. – AFP


