MOSCOW, 21 OGOS – Afrika Selatan telah menerima AS$5.27 bilion daripada Bank Pembangunan Baharu yang ditubuhkan oleh negara-negara BRICS untuk projek infrastruktur seperti pembinaan jalan raya, bekalan air dan tenaga, lapor Sputnik.
“Afrika Selatan telah mendapat manfaat daripada Bank Pembangunan Baharu, yang ditubuhkan oleh negara-negara BRICS pada 2015.
“Negara kita telah menerima dana bernilai AS$5.27 bilion untuk pelbagai projek infrastruktur membabitkan sektor seperti jalan raya, air dan tenaga,” kata Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa menjelang sidang kemuncak BRICS yang akan diadakan di Johannesburg dari 22 hingga 24 Ogos.
Afrika Selatan sedang mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara BRICS lain, serta bekerjasama dalam bidang seperti teknologi, keselamatan dan inovasi, kata presiden.
Sidang kemuncak BRICS di Johannesburg dijangka dihadiri oleh pemimpin dari Rusia, China, India, Brazil dan Afrika Selatan. Presiden Rusia, Vladimir Putin dijangka mengambil bahagian dalam sidang kemuncak itu melalui pautan video. – Bernama


