Friday, October 25, 2024
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    BRICS terbuka kepada semua yang berkongsi nilainya – Putin

    KAZAN, 25 OKT – Kumpulan BRICS, yang terdiri daripada ekonomi yang berkembang pesat di dunia, tidak beroperasi dalam format tertutup dan kekal terbuka kepada semua negara yang berkongsi nilai, kata Presiden Rusia, Vladimir Putin kelmarin, lapor Sputnik.

    “Kami mengesahkan di Kazan bahawa BRICS bukan format tertutup. Ia terbuka kepada semua yang berkongsi nilai BRICS dan ahlinya bersedia untuk bekerjasama mencari penyelesaian bersama tanpa tekanan luar atau percubaan untuk mengenakan pendekatan sempit kepada sesiapa,” kata Putin dalam sidang akhbar selepas sidang kemuncak BRICS di Kazan, Rusia.

    Rusia memikul tanggungjawab sebagai pengerusi BRICS dengan penuh dedikasi, tambah Putin.

    “Sidang Kemuncak BRICS ke-16 baru sahaja berjaya dimuktamadkan. Ia merupakan kemuncak kepengerusian Rusia dalam persatuan ini dan antara peristiwa paling penting dalam kalendar politik global. Saya telah katakan lebih daripada sekali bahawa Rusia memikul tugas sebagai pengerusi BRICS dengan penuh tanggungjawab, lebih 200 acara telah diadakan di 13 bandar Rusia,” kata Putin dalam sidang media selepas sidang kemuncak BRICS.

    Rusia telah melakukan segala yang mungkin untuk memastikan anggota baharu BRICS dapat bergabung secara lancar ke dalam keluarga persatuan, tambah Putin.

    “Saya boleh nyatakan dengan puas hati bahawa semua peserta baharu terlibat secara aktif dalam forum kerja, mengemukakan idea dan inisiatif yang berguna serta berpotensi. Bagi sidang kemuncak di Kazan itu sendiri, delegasi dari 35 negara dan 6 organisasi antarabangsa mengambil bahagian, seperti yang anda sedia maklum,” kata Putin.

    Para peserta sidang kemuncak BRICS membincangkan isu antarabangsa utama dengan memberi tumpuan kepada situasi di Timur Tengah, tambahnya.

    “Kami bertukar pandangan mengenai isu utama antarabangsa dengan fokus kepada keadaan yang semakin meruncing di Timur Tengah. Kami juga melihat prospek interaksi antara anggota BRICS, negara-negara Selatan dan Timur global demi pembangunan yang mampan.” – Bernama

    Vladimir Putin (kanan) menyambut Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semasa pertemuan dua hala mereka di luar sidang kemuncak BRICS di Kazan kelmarin.- AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda