ISTANBUL, 13 APRIL – China memaklumkan bahawa negara-negara anggota BRICS membincangkan isu tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) dan menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan global, lapor agensi Anadolu Ajansi.
Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan China, Beijing mendakwa tarif dikenakan oleh Washington telah, “merosakkan sistem perdagangan antarabangsa, mengganggu rantaian industri dan bekalan global, serta memberi kesan jangka panjang terhadap ekonomi dunia”.
Kenyataan itu dibuat semasa Mesyuarat Kedua Kumpulan Perhubungan BRICS Mengenai Isu Ekonomi dan Perdagangan awal minggu ini.
China turut menggesa negara-negara anggota untuk, “berpegang teguh kepada arah globalisasi yang betul, bersama-sama mempertahankan sistem perdagangan pelbagai hala yang berasaskan peraturan, serta mengekalkan kestabilan ekonomi global.”
Kenyataan berkenaan juga menyebut bahawa negara anggota menyuarakan kebimbangan terhadap kesan serius tarif itu ke atas sistem perdagangan pelbagai hala.
Beberapa negara turut menegaskan bahawa tindakan AS, “secara jelas melanggar” peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan boleh membawa kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi global serta kepentingan negara-negara membangun.
Dalam perkembangan berasingan, Menteri Perdagangan China, Wang Wentao mengadakan perbualan atas talian Jumaat lalu bersama Ketua Pengarah WTO, Ngozi Okonjo-Iweala bagi membincangkan isu tarif AS dan peranan organisasi itu.
China sebelum ini memfailkan beberapa tuntutan undang-undang terhadap AS di peringkat WTO berhubung isu tarif itu.
BRICS kini dianggotai oleh Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Indonesia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu. – Bernama/Anadolu
