BURTON UPON TRENT, 28 JUN – Kapten England, Millie Bright, yakin dapat pulih sepenuhnya untuk kempen Piala Dunia Lionesses pada bulan depan selepas menjalani pembedahan lutut.
Pemain pertahanan Chelsea itu tidak beraksi untuk kelab atau negara sejak Mac.
Bagaimanapun, Bright masih dipilih sebagai kapten untuk kejohanan di Australia dan New Zealand selepas Leah Williamson mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate.
Bright tidak akan terlibat apabila England menentang Portugal dalam perlawanan persahabatan pemanasan pada Sabtu, tetapi berharap dapat bermain ketika England menentang Haiti dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan pasukannya pada 22 Julai di Brisbane.
“Saya rasa kami berada lebih awal (jadual) sebenarnya,” kata Brighton kepada pemberita kelmarin.
“Kita masih ada masa yang cukup sebelum perlawanan pertama, jadi kami sangat yakin dan segala perkara berjalan seperti yang diharapkan,” katanya.
Berbanding bimbang dengan tempoh rehat yang lama menjelang Piala Dunia, pemain berusia 29 tahun itu percaya dia akan direhatkan dan akan kembali pulih selepas 12 bulan yang mencabar.
Bright adalah pemain penting ketika England memenangi Euro 2022 di laman sendiri musim panas lalu dan membantu Chelsea memenangi Liga Super Wanita dan Piala FA. – AFP
