BRISBANE, 29 MAC – Brisbane dikenakan sekatan mengejut tiga hari bermula hari ini selepas sejumlah kes COVID-19 dikesan di bandar ketiga terbesar Australia itu, menjejaskan lebih dua juta penduduknya.
Sekatan itu merupakan perintah berkurung kedua di Brisbane dan sekitar bandar raya itu selepas tujuh orang positif COVID-19, penularan komuniti pertama signifikan di Australia dalam beberapa minggu.
Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk mengatakan penularan kes adalah daripada varian United Kingdom yang mudah menular dan sekatan perlu dilakukan untuk menghindari perintah berkurung lebih lama.
“Kita telah melihat apa yang terjadi di negara lain. Saya tidak ingin melihat kejadian itu terjadi di Queensland, saya tidak mahu melihatnya terjadi di Australia,” katanya.
Sekolah, restoran dan bar akan ditutup mulai jam 5 petang hari ini tetapi orang ramai masih dibenarkan keluar dari rumah untuk kerja-kerja penting, membeli makanan, bersenam dan untuk rawatan perubatan.
Memakai penutup mulut dan hidung di khalayak ramai juga diwajibkan di seluruh Queensland, selepas seorang yang berjangkit pergi ke bandar Gladstone.
Jumlah ketibaan penerbangan antarabangsa akan dikurangkan separuh, untuk mengurangkan tekanan di hospital yang juga menghadapi lonjakan kes COVID-19 dari negara jiran, Papua New Guinea.
Australia secara relatif berjaya membendung penyebaran COVID-19, dengan hanya kira-kira 29,000 kes dan 909 kematian setakat ini.
Namun, pelancaran vaksin di negara ini perlahan, dengan hanya kira-kira 500,000 suntikan dilakukan setakat ini di negara dengan populasi 25 juta orang itu. –AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/03/PAGE-11-A_30032021-2.jpg)