Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Bagi menyediakan pendidikan yang komprehensif, memupuk sokongan daripada komuniti, menggalakkan diagnosis awal, dan memastikan pengurusan epilepsi yang berkesan, Pusat Promosi Kesihatan (PPK), Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pusat Perubatan Gleneagles Jerudong Park Sdn Bhd (GJPMC) dan Projek Community Outreach for People with Epilepsy (COPE) selaku duta kesihatan, hari ini, mengadakan acara Epilepsy Awareness Brisk Walk, bertempat di Taman Rekreasi Jalan Menteri Besar.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Eksekutif Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar.
Kempen di bawah program Happy Environment and Lifestyle (HEAL) itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat. Sebelum aktiviti berjalan kaki bermula, sesi pemanasan badan terlebih dahulu dijalankan diketuai oleh HSN Fitness, dan juga sesi pelancaran brisk walk.
Acara diteruskan dengan aktiviti utama iaitu brisk walk atau berjalan pantas mengelilingi Taman Rekreasi Jalan Menteri Besar dengan jarak 1.4 kilometer.
Setelah selesai acara berjalan pantas, para peserta berkumpul dan menghadiri sesi bergambar ramai.
Dengan bertemakan Melangkah Ke Arah Memahami Epilepsi, acara brisk walk itu adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang epilepsi dengan melibatkan diri dalam aktiviti berorientasikan komuniti.



