LONDON, 6 Mei – Pakar forensik British bekerjasama dengan tentera menubuhkan ‘body farm’ atau ladang mayat pertama di United Kingdom, sebagai usaha membantu polis untuk menyelesaikan lebih banyak kes pembunuhan, lapor agensi berita Xinhua.
Butiran mengenai perkara itu belum dimuktamadkan lagi, tetapi ladang itu diharap dapat dibuka pada tahun ini, memetik laporan jurnal sains Nature baru-baru ini.
Ladang itu akan menempatkan mayat manusia yang ditanam, dibiarkan di dalam air atau digantung di atas pokok, membolehkan penyelidikan dijalankan tanpa campur tangan manusia.
Keputusan penyelidikan itu kemudian boleh digunakan untuk kes jenayah selain membantu mengenal pasti mangsa pembunuhan dan punca sebenar kematian.
Tapak ladang itu dimiliki oleh Kementerian Pertahanan Britain dan fasilitinya kini dalam pembinaan.
Undang-undang British membenarkan orang ramai menderma mayat mereka untuk tujuan penyelidikan perubatan dan saintifik. Pakar forensik sedang mencari pihak yang bersetuju mendermakan mayat mereka untuk kegunaan ladang itu.
Saintis forensik, Chris Rogers dari Universiti Wolverhampton berkata fasiliti sedemikian penting kerana kekurangan kajian ke atas mayat manusia menjadi penghalang kepada sesuatu penyelidikan dan boleh mempengaruhi kegunaannya semasa di mahkamah.
Ladang seperti itu telah lama wujud di Amerika Syarikat dan baru-baru ini ia mula menular ke negara lain termasuk Australia dan Belanda.
Penyelidik berpendapat fasiliti itu boleh membantu dengan memberikan maklumat penting kepada penyiasatan jenayah berbanding kajian terhadap haiwan, tetapi bagi pengkritik ia disifatkan sebagai satu perbuatan kejam dan hasil kajian belum terbukti berkesan. – Bernama