LONDON, 6 JULAI – Perintah sekatan COVID-19 oleh kerajaan Britain dijangka berakhir pada 19 Julai ini, dan ia akan menjadi ujian sama ada pemberian vaksin yang pantas dapat memberi perlindungan mencukupi kepada rakyatnya terhadap penularan varian Delta.
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson semalam mengesahkan kerajaan akan menamatkan perintah sekatan sosial dan ekonomi itu termasuk tiada lagi penjarakan fizikal, bekerja dari rumah, pemakaian penutup mulut dan hidung.
Selain itu, kelab malam juga akan dibenarkan untuk beroperasi, tiada lagi had jumlah orang ramai di lokasi hospitaliti, tiada lagi sekatan jumlah individu yang boleh menghadiri majlis besar seperti acara sukan dan konsert.
Selepas melaksanakan tugas sukar untuk mengawal sikap masyarakat, Johnson kini berharap program imunisasi akan dapat memastikan perkhidmatan kesihatan awam tidak berada dalam keadaan terdesak susulan gelombang baharu pandemik itu.
“Kita perlu jujur, sekiranya gagal membenarkan masyarakat kembali seperti biasa dalam tempoh beberapa minggu akan datang, bila lagi kita akan dapat kembali kepada kehidupan normal?
“Kita akan bergerak keluar daripada sekatan ketika ini, dan membenarkan orang ramai membuat keputusan sendiri berhubung bagaimana untuk mengawal penularan virus,” katanya pada sidang media.
Johnson menetapkan dasar itu untuk England, namun ia tidak tertakluk untuk Scotland, Wales atau Ireland Utara, lapor agensi berita CNA.– AFP
