HONG KONG, 31 JAN – Skim visa baharu yang menawarkan jutaan ‘laluan’ untuk warga Hong Kong mendapat kewarganegaraan Britain akan dilancarkan hari ini secara langsung ketika langkah itu membuka pintu kepada mereka yang mahu melepaskan diri daripada tindakan keras China terhadap perbezaan pendapat di negara itu.
Sesiapa yang memiliki pasport Warganegara Britain (Luar Negara) dan tanggungan mereka boleh membuat permohonan visa secara dalam talian, bagi membolehkan mereka tinggal serta bekerja di United Kingdom (UK). Selepas lima tahun, mereka boleh memohon kewarganegaraan.
Skim imigresen itu adalah tindak balas terhadap keputusan Beijing tahun lalu, yang mengenakan undang-undang keselamatan negara yang menyeluruh di Hong Kong, untuk mengekang tunjuk perasaan besar-besaran dan bantahan demokrasi ganas.
Britain telah menuduh China memungkiri janjinya semasa penyerahan Hong Kong pada 1998, supaya hab kewangan itu akan mengekalkan kebebasan dan autonomi utama selama 50 tahun.
Sehubungan itu, London berpandangan bahawa pihaknya mempunyai kewajiban moral untuk melindungi bekas rakyat jajahannya.

“Kami menghormati hubungan sejarah dan persahabatan kami yang mendalam dengan rakyat Hong Kong. Kami telah memperjuangkan kebebasan dan autonomi,” kata Perdana Menteri, Boris Johnson mengenai skim itu minggu lalu.
Laman web bagi permohonan visa itu disiarkan secara online pada 5 petang waktu Hong Kong.
Berikutan itu, China marah dengan tawaran visa dibuat Britain dengan kelmarin memaklumkan enggan mengiktiraf pasport BNO berkenaan sebagai dokumen perjalanan yang sah atau untuk pengenalan diri.
Langkah itu menjadi simbolik besar ketika warga Hong Kong akan menggunakan pasport itu dan pengenalan diri masing-masing untuk meninggalkan bandar berkenaan.
Tetapi Beijing berkata ia bersedia untuk ‘langkah selanjutnya’ sekali gus meningkatkan kebimbangan pihak berkuasa akan cuba menahan warga Hong Kong yang mahu meninggalkan negara itu ke Britain.
Dalam ruangan komen hari ini, agensi berita rasmi China, Xinhua menuduh Britain mempunyai ‘mentaliti jajahan’. – AFP