LONDON, 31 JULAI – Britain melaksanakan perintah larangan yang ketat terhadap penduduk di Manchester dan utara England termasuk melarang perjumpaan tertutup, susulan peningkatan jangkitan COVID-19.
Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock, berkata perintah larangan bagi jutaan penduduk itu diperketatkan sedikit kerana orang ramai masih mengadakan pertemuan dan tidak mematuhi penjarakan sosial.
“Kita amat berat hati untuk melaksanakan tindakan ini, namun kadar jangkitan COVID-19 di seluruh Eropah kian meningkat.
“Justeru itu, langkah sewajarnya akan diambil bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin,” katanya di Twitter.
Tambah beliau, pendekatan itu akan berkuat kuasa pada jam 11 malam waktu tempatan hari ini.
Statistik baharu United Kingdom (UK) yang membandingkan wilayah diserang virus menunjukkan England mere-kodkan kematian terbanyak di Eropah pada separuh pertama tahun ini.
England sudah menarik balik kebanyakan sekatannya di seluruh negara, namun masih mengekalkan langkah penutupan kedai di seluruh bandar Leicester yang dikuatkuasa pada akhir Jun lalu. – AFP
