LONDON, 1 OKT – Britain hari ini menguatkuasakan langkah untuk membanteras penjualan bahan kimia untuk membuat bom, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Langkah itu selari dengan komitmen kerajaan United Kingdom (UK) untuk menyemak sama ada undang-undang berkenaan cukup ketat bagi melindungi rakyat berikutan serangan pengganas di Manchester Arena pada 2017.
Di bawah perubahan itu, terdapat keperluan yang lebih ketat untuk melaporkan aktiviti yang mencurigakan, termasuk kewajipan baharu bagi pasaran dalam talian.
Maklumat pelanggan seperti foto akan direkodkan apabila menjual bahan terkawal kepada pengguna perniagaan. Perubahan yang kali pertama diumumkan pada bulan Januari itu akan dikuatkuasakan melalui pembaharuan Akta Racun.
Salman Abedi, 22, yang lahir dan dibesarkan di Manchester meletupkan bom buatan sendiri di kawasan City Room foyer Arena pada penghujung konsert bintang pop Amerika, Ariana Grande pada 22 Mei, enam tahun yang lalu.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/10/P13-new-D-WEB-FREEPIK_02102023.jpg)
Letupan itu mengorbankan 22 orang dan mencederakan ratusan yang lain.
Kementerian Dalam Negeri berkata sebagai sebahagian daripada perubahan, sekatan baharu ke atas racun juga akan diperkenalkan.
Bahan-bahan tambahan telah ditambahkan ke dalam senarai racun terkawal, termasuk 2,4-dinitrofenol yang juga dikenali sebagai DNP, selain zink fosfida dan heksamina yang sering digunakan dalam bunga api.
Kini adalah menjadi satu kesalahan jenayah untuk menjual bahan berkenaan kepada orang awam tanpa lesen yang sah.
Menteri Keselamatan, Tom Tugendhat berkata, “Langkah baharu itu akan membantu mengelakkan bahan terkawal berbahaya daripada jatuh ke pihak yang tidak bertanggungjawab”.
Penasihat Konsortium Runcit British, Adrian Simpson, berkata, “Peruncit memainkan peranan penting dalam mengesan sebarang aktiviti yang mencurigakan daripada pelanggan”. – Bernama