Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Britain rai 200 tahun perjalanan kereta api bersejarah

    LONDON – Ribuan orang berhimpun meraikan ulang tahun ke-200 perjalanan kereta api bersejarah Britain yang menjadi asas kepada era moden.

    Pada 27 September 1825, enjin lokomotif wap pertama yang beroperasi di landasan awam, Locomotion No. 1 ciptaan George Stephenson, memulakan perjalanan sejauh 42 kilometer di Landasan Stockton & Darlington antara Shildon dan Stockton di timur laut England.

    Walaupun Stockton & Darlington bukanlah landasan kereta api pertama, ia merupakan yang pertama menggunakan tolok piawai dan sistem tarikan wap yang kemudian menjadi asas kepada rangkaian kereta api di seluruh dunia.

    Pencapaian kecil namun signifikan itu menandakan perubahan pesat dalam cara hidup, perdagangan, perjalanan dan komunikasi, bukan sahaja di Britain tetapi juga di seluruh dunia.

    Sepanjang tahun ini, peminat kereta api meraikan detik bersejarah itu di pelbagai acara di seluruh United Kingdom, dan hujung minggu ini ribuan orang membanjiri lokasi asal untuk menyaksikan replika Locomotion No. 1 yang telah dipulihkan mengulangi perjalanan bersejarahnya.

    Peminat kereta api melihat replika Locomotion No. 1 ketika ia disiapkan di Muzium Locomotion di Shildon, County Durham, menjelang perjalanan rasmi pertamanya dalam 200 tahun dari Muzium Locomotion di Shildon ke Darlington, sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-200 perkhidmatan kereta api penumpang Britain. – AP
    Pemandu kereta api, Chris Cubit, berada di atas replika Locomotion No. 1 di Muzium Locomotion di Shildon, County Durham. – AP
    Replika Locomotion No. 1 melalui Heighington, County Durham, sempena sambutan ulang tahun ke-200 perkhidmatan kereta api penumpang Britain. – AP
    Replika Locomotion No. 1 menghampiri stesen Heighington, County Durham. – AP
    Peminat kereta api berkumpul di tepi landasan berdekatan replika Locomotion No. 1 sebelum perjalanan rasmi pertamanya dalam 200 tahun dari Muzium Locomotion di Shildon ke Darlington. – AP

    Enjin wap itu, dengan tiga gerabak arang batu dan sebuah gerabak penum-pang, bertolak dari Muzium Locomotion di Shildon pada Jumaat dan akan melalui sebahagian laluan asal sebelum tiba di Stockton pada Jumaat.

    Putera Edward, adik bongsu Raja Charles III, adalah antara salah seorang penumpang di dalam gerabak yang ditarik oleh enjin replika tersebut semasa perjalanan singkat ke Shildon.

    Doug Haynes, 81, seorang jurutera pesawat bersara, sanggup membuat perjalanan kira-kira 160 kilometer ke Shildon untuk menyaksikan acara bersejarah itu.

    “Ia benar-benar menakjubkan,” katanya. “Usaha yang dicurahkan mereka untuk menjayakan acara ini amat berbaloi. Perjalanan jauh ini memang amat berharga bagi saya.”

    Kegembiraan yang sama turut dirasai 200 tahun lalu apabila orang ramai, termasuk wartawan dari seluruh negara, membanjiri landasan untuk menyaksikan Locomotion No. 1. Malah, cuti umum turut diisytiharkan di Darlington.

    Namun, tidak ada siapa yang dapat membayangkan kesan besar yang tercetus daripada detik itu dan bagaimana ia mengubah kehidupan, komuniti dan masa depan mereka.

    Kereta api kemudian membolehkan pengangkutan barangan industri dan bahan mentah seperti arang batu dan bijih besi dengan pantas.

    Ia mempercepatkan urbanisasi, mengubah kehidupan sosial dengan memberikan lebih banyak masa untuk aktiviti riadah, serta membuka ruang pelancongan dan peluang kepada kelas pertengahan.

    Secara keseluruhan, ia memainkan peranan penting dalam menjadikan Britain kuasa perindustrian dan ekonomi global pada abad ke-19 serta menyumbang kepada peluasan pesat Empayar British.

    “Sungguh menakjubkan melihatnya bergerak,” kata Louise Jones, 39, yang menyaksikan replika kereta api itu memulakan perjalanannya.

    “Ayah saya dulu bekerja di landasan kereta api. Ini peluang sekali seumur hidup untuk melihat bagaimana rupanya 200 tahun yang lalu.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda