LONDON, 7 APRIL – Saintis Britain telah menyelesaikan ujian pendorongan hipersonik utama yang bakal menggerakkan konsep peluru berpandu jelajah hipersonik termaju, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Britain pada Ahad, lapor Xinhua.
Menurut Kementerian Pertahanan Britain, ujian berkenaan dilaksanakan hasil kerjasama erat antara kerajaan Britain, pihak industri dan kerajaan Amerika Syarikat.
Sebanyak 233 ujian telah dijalankan dalam pelbagai kelajuan hipersonik, menandakan langkah penting dalam meningkatkan keupayaan pertahanan Britain.
Penyelidikan itu bertujuan menyokong penghantaran penunjuk teknologi senjata hipersonik menjelang 2030, yang bakal menyediakan keupayaan transformasi bagi memberikan kelebihan operasi kepada Angkatan Bersenjata Britain pada masa depan, menurut kenyataan itu. – Bernama
