Penyanyi Britney Spears, memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membuat laporan polis berhubung dia memuat naik video sedang menari bersama dua bilah pisau di Instagram miliknya baru-baru ini.
Britney menjelaskan alatan itu bukan pisau sebenar dan tarian itu sekadar meniru aksi penyanyi Shakira, menerusi salah satu persembahannya sebelum ini.
“Saya tahu saya telah membuat ramai bimbang tapi itu adalah pisau palsu yang saya sewa daripada sebuah kedai Hand Prop, di Los Angeles.
“Ini bukan pisau sebenar, tiada siapa perlu risau atau hubungi polis. Saya cuba meniru gerakan penyanyi kegemaran saya iaitu Shakira,” jelasnya.
Britney berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Bagaimanapun peminat tidak percaya dengan penjelasan dibuat Britney dan yakin alatan itu adalah pisau sebenar berdasarkan bunyi denting yang dihasilkan.
Sebelum ini, Mirror melaporkan beberapa anggota polis hadir ke kediaman mewah Britney, selepas ada pihak meluahkan kebimbangan terhadap video yang dimuat naik penyanyi itu. – Agensi