Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bronny tewas dalam penampilan sulung

    SAN FRANCISCO, 7 JULAI – Bronny James, anak lelaki kepada superstar NBA, LeBron James, berusia 19 tahun, telah menjaringkan empat mata kelmarin dalam penampilan sulungnya yang tidak rasmi di Los Angeles Lakers, dengan kekalahan pasukan dalam NBA Klasik California.

    Sacramento menewaskan Lakers 108-94 di Chase Center di San Francisco dalam pertandingan liga musim panas, pernampilan untuk prospek dan pendatang baharu bagi memulakan tugasan dalam sistem pertahanan pasukan serta taktik serangan mereka.

    James, menduduki tempat ke-55 dalam Draf NBA bulan lalu, bermula sebagai pengawal dan beraksi selama 21 minit 43 saat dalam perlawanan 40 minit itu, menamatkan dengan empat mata dalam 2 daripada 9 jaringan.

    Bekas pengawal University of Southern California itu turut menyumbang dua rebound, dua assist dan satu steal untuk Lakers.

    Bronny, yang menandatangani perjanjian empat tahun dengan Lakers, akan bermain bersama bapanya sebagai sebahagian daripada duo antara bapa dan anak yang pertama dalam sejarah NBA.

    LeBron James tidak menghadiri perlawanan itu kerana dia berada di Las Vegas bersama pasukan Olimpik Amerika Syarikat untuk sesi latihan pertama mereka menjelang perlawanan pameran menentang Kanada sebelum mereka berkunjung ke Eropah bagi Sukan Olimpik Paris.

    Tetapi dia meluangkan masa di Vegas untuk menonton beberapa video perlawanan pertama anaknya, dan kemudian memberitahu pemberita bahawa permainan kelmarin adalah sebahagian daripada proses pembelajaran.

    “Saya hanya berharap dia menemui rentak permainan NBA – termasuk kepantasan perlawanan dan fizikal permainan,” kata LeBron James. – AP

    Ford (kanan) cuba melepasi Bronny semasa separuh masa pertama perlawanan bola keranjang liga musim panas NBA di San Francisco pada 6 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda