PELAKON dan penerbit filem Bront Palarae terpaksa berkerusi roda dan bertongkat selepas mengalami kecederaan kaki ketika terbabit dengan penggambaran drama bersiri penyiasatan The Bridge di Johor Bharu baru-baru ini.
Bront, 40, berkata, kecederaan itu dialami ketika menjayakan babak berlari dari kapal ke bumbung bangunan.
“Kru penggambaran terpaksa membawa saya untuk menjalani rawatan di Pusat Perubatan KPJ di Johor Bahru.
“Menerusi imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) doktor memberitahu bahawa otot betis kanan saya terkoyak dan meminta saya buat fisioterapi dan berehat selama dua minggu,” katanya.

Bagaimanapun, Bront berkata, dia hanya dapat berehat selama lima hari kerana perlu menyelesaikan baki penggambaran siri itu.
“Doktor memberitahu dia hanya boleh berjalan selepas dua minggu boleh berjalan seperti biasa dan enam minggu baru boleh kembali melakonkan babak aksi.
“Ia adalah kecederaan yang paling teruk pernah dialami sepanjang terbabit dalam bidang lakonan. Ia adalah ujian yang perlu dilalui ketika sibuk mempromosikan filem One Two Jaga,”katanya.