Aktor Bront Palarae berbesar hati apabila dilantik sebagai Profesor Adjung, Fakulti Seni Sinematik (FCA), Universiti Multimedia Malaysia (MMU).
Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin, 47, berkata dia hanya mahu fokus untuk melaksanakan tugasnya dengan baik.
“Saya mahu memberi inspirasi kepada generasi seterusnya untuk meningkatkan prestasi ke tahap lebih tinggi dan terus meneroka sempadan baharu,” katanya kepada BH Online.
Sebelum ini, berita pelantikan itu dikongsikan MMU menerusi portal rasminya sempena ucapan tahniah atas pelantikan berkenaan kepada semua individu berpengalaman yang dipilih untuk gelaran itu.
Pada kenyataan profil Bront, pemilihan anak jati dari Kedah itu berdasarkan pengalaman hebatnya dan dedikasi komited bintang filem Pengabdi Setan itu dalam karier serta industri seni tanah air.

“Bront Palarae ialah profesional terkenal industri hiburan Malaysia dengan pengalaman selama dua dekad dalam lakonan, penerbitan dan penceritaan.
“Beliau sudah membintangi lebih 70 filem di tujuh negara, termasuk memfokuskan aktiviti karier seninya di tanah air, Indonesia dan Thailand.
“Seorang tokoh terkemuka dalam industri filem, Bront sudah berkhidmat dalam Jawatankuasa Penasihat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS),” kata kenyataan itu.
Bront juga aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertaraf antarabangsa iaitu Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef).
Selain Bront, dua figura terkenal dalam bidang animasi tanah air iaitu Nizam Razak dan Usamah Zaid Yassin turut dipilih MMU sebagai Profesor Adjung, Fakulti Kreatif Multimedia (FCM). – Agensi