Monday, July 21, 2025
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bront Palarae syukur tiada tawaran berlakon babak panas

    Banyak menerima tawaran berlakon di luar negara, aktor Bront Palarae bersyukur tidak pernah diberi watak yang memerlukan dia melakukan babak panas.

    Kata Bront atau Nasrul Suhaimin Saifuddin, 46, dia yakin rupa paras seseorang pelakon memainkan peranan penting dalam pemilihan watak, terutamanya babak-babak berunsur sensual.

    “Saya rasa bernasib baik kerana mereka tak pernah nampak saya sebagai seksi. Lainlah kalau saya ini hero Malaya yang berbadan sasa. Bila buka baju nampak seksi, mungkin ada tawaran sebegitu.

    “Tapi saya bukan dalam kategori itu. Saya duduk dalam kelompok yang biasa-biasa saja. Kalau berada dalam posisi tersebut, mungkin lebih sukar,” katanya kepada mStar.

    Menurut Bront, banyak perkara perlu dipertimbangkan sekiranya menerima tawaran adegan panas memandangkan statusnya kini sebagai seorang suami dan bapa.

    Bagaimanapun, Bront tidak menolak sebarang kemungkinan pada masa hadapan dan enggan membuat kenyataan tegas mengenai perkara yang belum berlaku.

    “Kalau zaman bujang dulu, batasannya lain. Ibu bapa pun senang untuk dipujuk. Tapi sekarang, bila sudah beristeri, banyak perkara perlu difikirkan, termasuk pandangan keluarga mentua. Kena juga fikir tentang anak. Bukan bermaksud saya terlalu berhati-hati, cuma saya lebih memikirkan kesan dan akibat yang perlu saya tanggung nanti,” luahnya.

    Dalam perkembangan lain, Bront turut terlibat dalam pembikinan siri My Stupid Boss: The Animated Series yang diadaptasi daripada filem hit box office My Stupid Boss terbitan tahun 2016.

    Siri berkenaan menyajikan peristiwa-peristiwa lucu kehidupan pejabat yang huru-hara, semuanya hasil telatah yang tidak dapat diramalkan oleh watak bernama Bossman. – Agensi

    Bront selesa dengan tawaran lakonan yang ada. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda