RIGA, 12 SEPT – David Brooks menjaringkan gol antarabangsa pertamanya sejak kembali daripada diagnosis kanser ketika Wales mengekalkan peluang mereka untuk mara ke Euro 2024 dengan kemenangan 2-0 di tempat lawan di Latvia, kelmarin.
Pemain sayap Bournemouth, Brooks telah didiagnosis dengan limfoma Hodgkin tahap dua pada Oktober 2021.
Dia kembali bermain di peringkat kelab pada Mac dan membantu mendapatkan tiga mata penting untuk pasukan kendalian Rob Page pada masa kecederaan di Riga.
Masa depan Page menjadi samar selepas mencatat satu kemenangan dalam 13 perlawanan.
Gol ke-100 Aaron Ramsey menerusi sepakan penalti pada pertengahan separuh masa pertama meletakkan pasukan pelawat di hadapan.

Tetapi kekurangan penjaring gol klinikal sejak Gareth Bale bersara daripada bola sepak antarabangsa terbukti apabila Wales tidak mampu menambah kelebihan mereka sehingga minit ke-96 membawa kepada penamat yang menggerunkan.
Rembatan melencong Janis Ikaunieks mengenai tepi jaring pada minit akhir untuk menafikan pasukan yang menduduki ranking ke-134 dunia itu mendapat mata pertama dalam kelayakan.
Sebaliknya, Brooks menghasilkan penyudah untuk menewaskan Roberts Ozols semasa serangan balas untuk menggandakan pendahuluan Wales.
Kemenangan itu mengekalkan Wales dalam persaingan untuk mencapai Euro ketiga berturut-turut.
Anak buah Page menyamai mata dengan Armenia dan tiga mata di belakang Turkiye dalam perebutan tempat kelayakan automatik kedua dalam Kumpulan D, dengan ketiga-tiga negara mempunyai baki tiga perlawanan.
Croatia melonjak ke tangga teratas kumpulan, dengan satu perlawanan dalam tangan, selepas menang 1-0 di Armenia, kelmarin. – AFP