Thursday, February 6, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brownies mamasal tambat hati penggemar kek

    KOTA KINABALU – Bermula hanya sekadar mengisi masa lapang, Salfizah Mohd Ismail, 34, seorang suri rumah sepenuh masa kini boleh tersenyum lebar apabila perniagaan kek yang diusahakan secara kecil-kecilan dari rumah sejak 2015, semakin mendapat sambutan.

    Percubaan beliau membuat dan menjual kek seperti brownies, marble, keju dan keju bakar membuahkan hasil apabila jenama ‘Mamasal’ kini berjaya menambat hati penggemar kek bukan sahaja di daerah Putatan tempat beliau beroperasi, bahkan mendapat permintaan sehingga ke Sandakan dan Ranau yang masing-masing terletak kira-kira 332 dan 106 kilometer dari Kota Kinabalu.

    Berasal dari Membakut, ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tiga dan tujuh tahun itu sedaya upaya cuba untuk tidak menghampakan pelanggan-pelanggannya.

    “Menerima tempahan dari jauh itu ibarat satu pencapaian kepada saya kerana ia secara tidak langsung turut mengembangkan jenama kek ‘Mamasal’ ke daerah lain termasuklah Tuaran dan Papar.

    “Tempahan pelanggan dari Sandakan dan Ranau dihantar menggunakan bas ekspres. Kek saya tidak ada di sana dan mereka ingin mencubanya. Walaupun sedia maklum akan risiko penghantaran seperti kek hancur dan rosak namun mereka tetap memberi kepercayaan kepada saya. Alhamdulillah kek sampai kepada pelanggan dalam keadaan yang baik,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

    Salfizah dibantu suaminya Zabidi Zainun, sibuk menyiapkan tempahan kek bagi memenuhi tempahan pelanggannya. – Bernama
    Salfizah Mohd Ismail menunjukkan kek logo Bernama hasil buatan tangannya. – Bernama
    Antara kek yang dijual oleh Salfizah yang dipromosikannya menerusi laman Instagram. – Agensi

    Peminat kek

    Mengimbau saat berhasrat memulakan perniagaan dari rumah, Salfizah berkata langkah itu diambil selepas beliau berhenti kerja di sebuah syarikat swasta bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.

    Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan) dari Universiti Malaysia Sabah itu tidak betah hanya duduk ‘goyang kaki’ di rumah sebaliknya mencari idea yang boleh mendatangkan hasil bagi membantu suaminya Zabidi Zainun, 38, menambah pendapatan keluarga.

    Keputusan memilih kek sebagai produk perniagaan kecil-kecilan dibuat adalah kerana beliau sendiri merupakan penggemar pencuci mulut itu.

    “Saya mengambil inisiatif mendalami ilmu serta teknik pembuatan kek termasuklah ‘belajar’ dari laman sosial Facebook, Instagram dan YouTube. Pada mulanya saya hanya menjual kek brownies bagi menarik pelanggan memandangkan ketika itu tidak ramai yang menjualnya di Sabah tambahan pula bahan-bahan dan cara membuatnya mudah.

    “Sebelum mempromosikannya kepada pelanggan, saya terlebih dahulu memberikannya kepada ahli keluarga dan teman rapat untuk dicuba (rasa). Maklum balas yang diterima saya gunakan untuk menambahbaik kualiti kek sehinggalah mendapat ‘lampu hijau’ daripada ‘juri-juri’ terdekat untuk memulakan langkah pertama (mengambil tempahan),” katanya.

    Bermodalkan RM50 Salfizah memberanikan diri menerima tempahan pertama kek brownies daripada pelanggan.

    Dengan modal itu juga beliau dapat menghasilkan empat kotak kek brownies dan meraih pulangan kira-kira RM200.

    “Sejak itu saya terus mengorak langkah dan menerima banyak tempahan kek daripada pelanggan,” katanya sambil menambah maklum balas positif daripada pelanggan memberi kepuasan buat dirinya dan menaikkan semangat untuk menghasilkan kek yang lebih sedap dan berkualiti.

    Resipi jaga pelanggan

    Setiap kotak kek ‘Mamasal’ dijual pada harga RM35 hingga RM60, bergantung kepada jenis dan saiz kek. Rata-rata pelanggan lazimnya membuat tempahan untuk sambutan hari jadi, hantaran pertunangan, ulang tahun perkahwinan dan buah tangan atau doorgift.

    Selain menggunakan bahan premium demi menjamin kualiti produk, Salfizah turut menitikberatkan aspek kebersihan serta menjaga hubungan baik dengan pelanggan.

    Katanya itu adalah antara resipi penting untuk ‘mengikat’ pelanggan setia, menarik lebih ramai pelanggan baharu sekaligus memastikan sesebuah perniagaan mampu bertahan lama.

    Menggunakan kaedah pre-order atau pelanggan membuat tempahan awal bagi memastikan setiap kek dijual adalah yang baharu dibuat, beliau mempromosikan ‘air tangannya’ menerusi laman Instagram mamasal_brownies.

    “Saya membuka tempahan pada setiap hari ganjil. Boleh dikatakan dalam tiga hari beroperasi saya mampu mendapat tempahan sehingga 20 kotak,” katanya sambil menambah hasil jualan kek ‘Mamasal’ pernah mencecah sehingga RM8,000 sebulan selain beliau turut menawarkan harga istimewa ketika musim perayaan serta menjual kek di kafe, restoran dan beberapa kios.

    Hikmah PKP

    Tidak terkecuali turut terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lepas bagi membendung penularan pandemik COVID-19, beliau berkata tempahan pelanggan terpaksa ditolak kerana beliau sekeluarga terkandas di kampungnya di Membakut dan tidak boleh merentas daerah.

    Akur lima bulan terpaksa ‘merehatkan’ ketuhar serta peralatan membuat kek, tempoh itu bagaimanapun dimanfaatkan dengan mengikuti kelas membuat kek secara dalam talian bagi meningkatkan kemahirannya.

    “Saya mempelajari banyak ilmu serta cara-cara membuat pelbagai kek seperti kek marble yang kini semakin diminati ramai kerana sedap dan cantik. Apabila ada pelbagai jenis kek yang dijual, ia memberi banyak pilihan kepada pelanggan,” katanya yang turut menambah hasil jualan kek ‘Mamasal’ kini kembali stabil lebih-lebih lagi apabila beliau mengoptimumkan penggunaan laman sosial Instagram untuk mempromosikan produknya.

    Berhasrat mengembangkan perniagaan dengan memiliki sebuah kilang kecil bagi meningkatkan produktiviti serta membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda, beliau yang kini mempunyai ejen di Kota Kinabalu dan Membakut serta akan datang di Tuaran dan Papar, merancang untuk mengambil lebih ramai ejen.

    Turut mendapat sokongan penuh daripada suaminya yang merupakan seorang penjawat awam, beliau juga mahu menggunakan sepenuhnya perkhidmatan penghantaran makanan bagi memudahkan pelanggan di samping turut meninjau peluang menyertai aplikasi perniagaan dalam talian. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda